Pengeluaran padi 2023 turun 4.7 peratus berbanding 2022

Pengeluaran padi 2023 turun 4.7 peratus berbanding 2022

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Pengeluaran padi negara merekodkan penurunan sebanyak 4.7 peratus iaitu 2,175,097 tan metrik pada tahun lalu berbanding 2,281,736 tan metrik pada 2022.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan keadaan itu menyebabkan pengeluaran beras turun kepada 1,503,151 tan metrik atau 4.6 peratus pada tahun lalu berbanding 1,574,956 tan metrik pada tahun 2022.

“Pengurangan ini disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi produktiviti padi dan beras negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, data terbabit berdasarkan pelarasan semula pengiraan Kadar Sara Diri (SSR) dan Penggunaan Per Kapita (PCC) beras pada tahun 2023 dengan SSR beras adalah 56.2 peratus, manakala, PCC beras pula adalah 76.7 kilogram per tahun.

Pelarasan semula itu adalah berdasarkan asas pengiraan baharu SSR dan PCC beras diperkenalkan KPKM selaras dengan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Menerusi kaedah baharu ini, pihak KPKM melaraskan asas pengiraan pengeluaran padi pada tahun 2023 dengan mengambil kira jumlah padi bersih yang akan diproses kepada beras saja.

“Pengiraan ini tidak termasuk jumlah pengeluaran padi yang dikhususkan untuk tujuan benih pada tahun yang sama,” katanya.

KPKM berkata, kaedah itu turut mengekalkan kadar faktor penukaran padi kepada beras yang digunakan pada masa ini mengikut zon iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, masing-masing pada kadar 70 peratus, 63 peratus dan 60 peratus.

Malah, KPKM juga memuktamadkan jumlah stok kecemasan beras bagi tahun 2023 dengan jumlah 240,233 tan metrik bagi stok dagangan dan 40,000 tan metrik bagi stokpail.

“KPKM akan terus komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kadar SSR beras antaranya melalui kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk dengan kerajaan negeri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top