Pengembara Malaysia boleh masuk China tanpa visa sehingga 90 hari di bawah perjanjian baharu

Pengembara Malaysia boleh masuk China tanpa visa sehingga 90 hari di bawah perjanjian baharu

Kuala Lumpur: Warganegara Malaysia tidak lama lagi akan menikmati kemasukan tanpa visa ke China bagi tempoh kumulatif tinggal sehingga 90 hari, sebaik sahaja kedua-dua negara melengkapkan prosedur domestik yang diperlukan di bawah Perjanjian Pengecualian Visa Bersama.

Kedutaan China di Malaysia dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, perjanjian itu akan berkuat kuasa selama lima tahun dan akan dilanjutkan secara automatik untuk tempoh lima tahun berikutnya.

Menurut kedutaan, perjanjian itu menetapkan bahawa tempoh maksimum kumulatif tinggal tanpa visa bagi warganegara satu daripada pihak yang menandatangani perjanjian di wilayah pihak satu lagi adalah tidak melebihi 90 hari dalam mana-mana tempoh 180 hari.

“Bagi warganegara asing yang memasuki China di bawah dasar pengecualian visa, jumlah hari mereka tinggal di China tidak boleh melebihi 90 hari dalam tempoh 180 hari sebelum mana-mana tarikh,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan turut menjelaskan bahawa tempoh 90 hari itu tidak termasuk hari yang diluangkan di China dengan menggunakan visa, permit kediaman, dokumen visa lain atau Kad Perjalanan Perniagaan APEC.

Kemasukan tanpa visa tidak akan diberikan kepada mana-mana warga asing yang telah tinggal selama 90 hari dalam tempoh 180 hari. Sekiranya individu itu belum mencapai had 90 hari tetapi mempunyai baki kurang daripada 30 hari, tempoh kemasukan tanpa visa bagi kemasukan berikutnya akan dihadkan kepada baki hari yang tinggal.

“Warganegara China yang datang ke Malaysia juga akan mengikut amalan yang sama.

“Kami yakin perjanjian ini akan menggalakkan lagi pertukaran antara rakyat, memperkukuh persefahaman bersama dan memperdalam kerjasama pelbagai sektor antara kedua-dua negara dan rakyat apabila ia mula berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu lagi.

Perjanjian untuk melanjutkan pengecualian visa antara China dan Malaysia itu telah ditandatangani semasa lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia bulan lepas.

Perlanjutan itu berdasarkan perjanjian timbal balik semasa, yang membenarkan warga China dan Malaysia membuat lawatan tanpa visa ke negara masing-masing bagi tempoh sehingga 30 hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top