sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Nama pengendali baharu Terengganu FC (TFC) yang bakal membawa cabaran skuad itu dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027 akan diketahui tidak lama lagi.
Pengumuman itu nanti sudah pasti melegakan peminat setia skuad Penyu yang mahukan skuad ‘gergasi’ Pantai Timur itu melakukan persiapan awal menjelang musim baharu nanti yang dijangka pada awal September ini.
Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, pihaknya akan membuat pengumuman rasmi berhubung pelantikan ketua jurulatih baharu itu pada masa terdekat.
“Tunggu, kami akan membuat pengumuman rasmi berhubung pelantikan pengendali baharu pasukan dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi saingan Liga M nanti.
“Pelantikan itu adalah antara agenda utama kelab dalam merangka hala tuju baharu pasukan yang lebih tersusun dan mampan menjelang musim baharu nanti.
“Pemilihan pengendali baharu ini dibuat selepas melalui proses penilaian yang teliti bagi memastikan individu yang dilantik memiliki falsafah serta visi yang selari dengan perancangan jangka pendek dan jangka panjang kelab.
“Kehadiran jurulatih itu nanti diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuhkan struktur pasukan serta membentuk skuad yang lebih kompetitif dalam menghadapi cabaran musim akan datang,” ujar Mohd Syahrizan melalui kenyataan rasmi semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, selain aspek teknikal, TFC turut memberi tumpuan kepada pembangunan pasukan secara menyeluruh termasuk penstrukturan semula beberapa bahagian operasi, pengukuhan identiti permainan serta pembangunan pemain sedia ada dan bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Sesi latihan rasmi pasukan dijadualkan bermula pertengahan Julai sebagai persediaan menghadapi kempen pra-musim. Tempoh pra-musim ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membina kecergasan pemain, memperkukuhkan keserasian pasukan serta memberi ruang kepada barisan kejurulatihan baharu untuk menerapkan corak permainan dan pendekatan yang diinginkan.
“Penyokong juga diseru untuk terus memberikan sokongan padu dan mengikuti segala pengumuman rasmi yang akan dibuat dalam tempoh terdekat.
“Musim baharu nanti bakal menjadi titik permulaan kepada fasa baharu TFC dalam usaha membina semula kekuatan kelab dengan pendekatan yang lebih berhemah, realistik dan mampan demi memastikan kestabilan serta daya saing pasukan untuk jangka masa panjang,” ujarnya.
Terdahulu Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu mendedahkan dua nama iaitu Bojan Hodak dan Nafuzi Zain berada dalam senarai akhir untuk dilantik mengemudi pasukan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




