Pengendali KL City tak puas keputusan seri

Pengendali KL City tak puas keputusan seri

sukan@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kuala Lumpur City FC (KL City) menyifatkan perlawanan menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi sebagai sukar.

Pengendalinya, Vidakovic Savic Risto berkata, bermain di padang yang berair bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dalam usaha memburu kemenangan bagi mengekalkan kedudukan di tangga kedua liga.

Katanya, walaupun mengutip satu mata setelah terikat 1-1 dengan Sabah, pasukan bimbingannya layak mendapat lebih daripada itu jika keadaan padang dan cuaca lebih baik berbanding malam tadi.

“Ini satu perlawanan yang berat dan permainan yang sangat sukar bagi kita sebab keadaan padang yang berair, ia bukan keadaan padang yang kita suka untuk bermain bola sepak.

“Tapi, saya fikir kita dapat mencipta peluang yang cukup untuk memenangi perlawanan malam ini dan saya rasa kita layak dapat lebih daripada satu mata,” katanya.

Aksi Sabah menentang KL City di Stadium Likas malam tadi yang sepatutnya bermula pada jam 8.15 malam, ditangguhkan ke jam 9 malam berikutan hujan lebat.

Walaupun hujan sudah reda ketika perlawanan bermula, keadaan padang masih berair dan agak becak menyebabkan pergerakan pemain terjejas disebabkan padang yang basah dan licin.

KL City berjaya membuka jaringan pada minit ke-50 untuk mendahului permainan dengan 1-0 hasil rembatan penyerangnya, Muhammad Safawi Rasid setelah terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, usaha pasukan pelawat itu untuk mempertahankan kedudukan dapat digagalkan tuan rumah hasil jaringan penyamaan penyerang Sabah FC, Ajdin Mujagic pada minit ke-66.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top