Pengesanan awal influenza guna kit kendiri kurangkan risiko

Pengesanan awal influenza guna kit kendiri kurangkan risiko

suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mendaftarkan penggunaan kit kendiri untuk influenza bagi memudahkan pengesanan awal jangkitan itu dalam kalangan orang awam, sekali gus berupaya mengelakkan penyebarannya.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, sehingga kini pesakit hanya boleh mengesan influenza melalui doktor menggunakan kit berdaftar di klinik.

Katanya, ia menyebabkan pengesanan lewat dilakukan, berbanding melakukannya di rumah menggunakan kit kendiri dan seterusnya mendatangkan risiko simptom menjadi serius.

“Kesannya, ia menyebabkan kesesakan rawatan di jabatan kecemasan di hospital kerajaan susulan kemasukan ribuan pesakit yang mengalami simptom serius kerana lewat melakukan pemeriksaan.

“Bukankah lebih baik sekiranya ada kit kendiri yang berdaftar untuk mengekang jangkitan ini? Adalah sangat wajar untuk kerajaan menimbangkan keperluan kit kendiri untuk infuenza di pasaran.

“Tentunya ia adalah satu langkah yang lebih baik, lagi berkesan untuk mengekang jangkitan virus influenza ini. Rawatannya juga akan jauh lebih murah jika dikesan lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dilaporkan memaklumkan belum memberikan sebarang kelulusan rasmi terhadap mana-mana produk kit kendiri influenza, sama ada yang dijual secara fizikal di premis atau dalam talian.

Ia sekali gus memberi maksud bahawa semua kit kendiri yang berada di pasaran termasuk di media sosial adalah tidak sah untuk kegunaan orang awam.

Pada masa sama, Amrahi turut mempersoalkan penyebab kit kendiri tidak didaftarkan di pasaran sama ada kerana tiada permintaan daripada mana-mana syarikat atau kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkannya.

Beliau berkata, dari segi keperluan masyarakat, adalah relevan untuk menggunakan kit kendiri kerana mereka sudah mempunyai ilmu dan pengalaman untuk menjaga diri sendiri seperti mana yang dipelajari semasa pandemik global Covid-19.

Katanya, jangkitan influenza meragut nyawa termasuk kanak-kanak selain risiko kepada warga emas, pesakit penyakit tidak berjangkit (NCD) yang kronik dan kanak-kanak adalah nyata dengan pengesanan awal, ia boleh dikawal dengan cepat.

“Apatah lagi rakyat kini lebih cakna dan bijak untuk melakukan ujian kendiri atas pengalaman penggunaan kit itu ketika jangkitan Covid-19.

“Malah kita melihat jangkitan Infuenza A begitu meluas sekali dengan membabitkan ribuan rakyat jelata khususnya kluster di sekolah dan ia sangat cepat merebak.

“Ia sangat cepat merebak berbanding virus Covid-19. Seperti yang diketahui umum, jangkitan infuenza ini lebih lama daripada Covid-19. Ini mewajarkan lagi supaya kit kendiri ini dimasukkan ke dalam pasaran negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top