Pengetua keluar rumah seawal 5.30 pagi untuk sambut pelajar datang sekolah

Pengetua keluar rumah seawal 5.30 pagi untuk sambut pelajar datang sekolah

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: “Sebelum kamu berjaya memperoleh kecemerlangan, saya sudah peluk kamu dulu,” itulah kata-kata penuh makna Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Yarl, Dr Ahmad Kamal Ariffin.

Pendidik berusia 50 tahun itu tular di media sosial kerana rutin hariannya menyambut pelajar di pintu pagar sekolah pada setiap pagi dengan cara yang mengesankan jiwa.

Setiap pagi, beliau berdiri di pintu pagar sekolah, bukan untuk memeriksa pakaian pelajar atau memarahi mereka yang datang lambat tetapi untuk menyambut mereka dengan senyuman, pelukan dan kata-kata semangat.

Video beliau berdiri menyambut pelajar sejak awal pagi bukan sekadar simbolik kasih seorang guru tetapi menggambarkan jihad seorang pendidik yang sanggup berkorban demi membentuk masa depan generasi beradab sopan dan berakhlak tinggi.

“Sejak saya dapat surat daripada Ketua Pengarah Pendidikan pada 17 September 2024 untuk bertugas sebagai pengetua, saya tak pernah rehat.

“Ia kali pertama saya jadi pengetua. Saya dihantar ke sekolah yang nombor dua paling teruk prestasinya di Kuala Lumpur. Keputusan peperiksaan sangat teruk, masalah sangat banyak, termasuk dari segi kemudahan. Orang kata sekolah daif bandar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia berpengalaman 20 tahun bertugas di Kementerian Pendidikan, malah pernah menjadi Ketua Jabatan Pengurusan Murid, Ketua Jabatan Pengurusan Hal Ehwal Murid dan Kaunseling Sekolah-Sekolah Malaysia.

“Jadi apabila saya masuk ke sekolah ini, saya cuba bawa perubahan daripada pengalaman dilalui.

“Saya transform. Saya tahu dasar Sekolah Penyayang memang ada arahannya untuk meraikan pelajar setiap pagi, jadi saya jadikan itu amalan saya.

“Saya keluar rumah seawal 5.30 pagi dari Putrajaya dan solat subuh di surau sekolah.

“Di peringkat permulaan, saya dapati yang datang ke sekolah ini adalah pelajar daripada latar belakang mencabar dengan anggaran 95 peratus dari keluarga B40.

“Memang ramai yang ada masalah disiplin. Mereka tak ada motivasi belajar, keluarga bermasalah, ibu bapa bercerai, ancaman dadah di kawasan sekitar kediaman. Saya ambil pendekatan raikan mereka setiap hari,” katanya..

Ditanya siapa yang ditangani dahulu untuk membentuk sistem serta suasana kondusif sama ada guru atau pelajar, beliau berkata pendekatannya adalah serentak.

“Pada mulanya saya dengan guru, saya bertegas. Memang tegaslah. Memang saya marah. Tetapi dengan pelajar, saya lembut. Saya penyayang.

“Sebab guru ini orang dewasa. Kalau dia tak ada disiplin, saya kena tegaslah. Ada guru yang datang lambat. Tetapi sekarang mereka tunduk sebab pengetua dia datang paling awal, balik paling lewat,” katanya.

Beliau turut membawa pendekatan solat berjemaah bukan sahaja pelajar malah bersama pengawal keselamatan dan guru, selain mewujudkan sinergi antara guru, pelajar dan ibu bapa.

“Hasilnya, sekolah mencatatkan peningkatan prestasi drastik. Kehadiran pelajar meningkat dan menyumbang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun naik mendadak.

“Pengarah Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur baru-baru ini meraikan sekolah dan saya sebab sekolah ini catatkan peningkatan kedua tertinggi di Kuala Lumpur. Saya tak pernah rasa hidup saya segembira sekarang.

“Memang berbaloi berkorban tenaga untuk berdiri sekitar sejam menyantuni pelajar di pintu pagar setiap pagi. Jika diperhatikan amalan saya di TikTok itu, akan dapati pelajar pun gembira. Pelajar India suka, pelajar Melayu seronok, pelajar Cina pun gembira,” katanya.

Ahmad Kamal berkata, pendekatan menyambut pelajar itu sebenarnya berasaskan dasar Sekolah Penyayang yang beliau sendiri antara penggubalnya semasa di Kementerian Pendidikan.

“Sekolah Penyayang ini ada empat elemen. Satu daripadanya meraikan murid ke sekolah. Cuma saya tak ikut penggiliran. Saya tak ada jadual. Hari-hari saya jadi kapten. Cikgu-cikgu saya ikut jadual giliran. Saya tak. Hari-hari saya berdiri di pagar. Itu yang menyebabkan cikgu-cikgu hormat dan mahu cuba ikuti langkah sama,” katanya.

Beliau turut mengubah wajah sekolah, termasuk mewujudkan kawasan bendera negara di dunia dan bendera hampir seluruh syarikat korporat di Malaysia.

“Saya nak pelajar tahu dunia ini besar, banyak syarikat hebat. Saya tanamkan semangat berniaga dan motivasi dalam diri mereka. Inisiatif ini menggunakan dana daripada pihak prihatin, wakaf dan bantuan pemimpin masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, sekitar 95 peratus pelajar sekolah itu terdiri daripada keluarga B40, dan pendekatan sentuhan harian serta pelukan menjadikan ramai pelajar lembut hati dan mula berubah menjadi lebih baik.

“Sentuhan dan pelukan itu saya fokus pada pelajar lelaki. Lama-lama mereka jadi lembut hati. Itu cabaran cikgu, nak buang ego marah kita, buang ego tak sabar. Kita peluk pelajar kita, raikan mereka.”

“Dulu saya kerja kementerian, staf bawah saya enam orang. Kerja senang, tapi saya tak pernah rasa hidup saya segembira sekarang. Sekarang saya kerja macam-macam, tapi saya gembira.”

Sebagai pengetua sekolah satu sesi dengan lebih 700 pelajar dan lebih 60 guru, termasuk 98 pelajar berkeperluan khas, Ahmad Kamal berkata cabaran sangat besar.

“Macam-macam bebanan, macam-macam krisis setiap hari. Tetapi saya lawan. Ada yang ludah cikgu, datang sesuka hati. Kalau ikutkan rasa nak marah, nak buang sekolah, tetapi saya sabar. Saya peluk dia, saya sayang dia, saya buat baik.”

“Di sebalik rasa nak marah itu, saya tukar dengan sayang. Biasanya pelajar hanya dapat pelukan apabila berjaya seperti menang dalam pertandingan sukan atau mendapat kecemerlangan akademik.

“Tetapi saya peluk sebelum dia berjaya. Saya nak beri restu, ini sebahagian proses bagi setiap kejayaan,” katanya.

Walaupun tidak sempat menyantuni pelajarnya ketika tamat sesi persekolahan seperti mana dilakukan waktu pagi, namun ada pelajar yang akan memeluknya secara spontan apabila berselisih di kawasan sekolah.

“Mereka rasa ada orang jaga mereka. Tetapi bukan senang sebab hakikatnya selepas keluar pintu pagar sekolah, mereka berdepan dengan pelbagai dugaan dan ancaman semula di luar. Apa pun saya tak putus berdoa untuk mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top