hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penggalian semula kubur Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin akan dilaksanakan secepat mungkin.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis akan membantu memudahkan proses gali semula itu susulan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
“Keputusan sudah dibuat, macam juga kes adik Zara (Zara Qairina Mahathir), polis akan menyusul.
“Ia satu proses yang serius sebenarnya, melibatkan majistret, pasukan perubatan, keluarga, polis, doktor… semua terbabit.
“Peranan polis bagi memastikan keputusan mahkamah dilaksanakan kita akan memudahkan (facilitate). Kita tidak perlu pertikai lagi dan ia akan dibuat (gali kubur) secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan kubur Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor, digali semula.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Katanya, proses menggali semula kubur Allahyarham yang berusia 22 tahun ketika kematian, bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Dalam prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden.
Sebelum ini, media melaporkan, Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, 29 Julai lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd