BEIRUT: Tiga tentera termasuk seorang pegawai Lubnan terbunuh pada Khamis dalam serangan Zionis Israel ketika operasi pemindahan mangsa yang cedera di pinggir kampung Yater, selatan Lubnan dijalankan.
Serangan itu berlaku selepas Hizbullah dalam satu kenyataannya pada lewat Rabu berkata bahawa pihaknya telah meningkatkan serangan ke atas Israel menggunakan ‘peluru berpandu tepat’ buat kali pertama, selain melancarkan dron jenis baharu ke atas sasaran Israel.
Tentera Israel dalam pada itu berkata, sebanyak empat pelancaran peluru berpandu dikenal pasti telah dilepaskan dari Lubnan, dengan dua daripadanya berjaya dipintas, manakala dua lagi telah jatuh ke tanah, lapor Al-Arabiya.
Perbalahan yang semakin sengit itu turut berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) melakukan usaha terakhir untuk perdamaian antara Israel dan kumpulan pejuang yang disokong Iran, Hizbullah dan Hamas sebelum berlangsungnya pilihan raya presiden AS pada 5 November depan yang dilihat boleh mengubah dasar luar negara itu.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, yang sering mengadakan lawatan ke Timur Tengah semasa perang, telah sekali lagi hadir ke Israel, sejak negara haram itu membunuh pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, musuh paling dikehendakinya dan pembunuhan yang diharapkan AS dapat memberi dorongan kepada keamanan.
AS turut berhasrat untuk mengelak konflik itu daripada meluas, dengan menjangkakan tindakan balas Israel terhadap serangan peluru berpandu Iran pada 1 Oktober.Â
Blinken dalam pada itu berkata bahawa tindakan balas Israel tidak seharusnya membawa kepada peningkatan konflik yang lebih besar di rantau berkenaan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 24/10/2024