Pengguna jimat sekitar RM20, kerajaan negeri beri rebat bil air – MB

Pengguna jimat sekitar RM20, kerajaan negeri beri rebat bil air – MB

KANGAR: Pengguna yang terjejas dengan banjir baru-baru ini bakal menikmati penjimatan sekitar RM20 berikutan langkah kerajaan negeri melaksanakan pemberian rebat bil air.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, inisiatif tersebut bagi membantu meringankan beban mangsa terlibat khususnya dalam menampung peningkatan penggunaan air bagi tujuan kerja-kerja pemulihan pasca banjir.

Katanya, Syarikat Air Perlis (SAP) akan memberikan rebat secara automatik berdasarkan senarai rasmi mangsa dikenalpasti menerusi data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Proses pengesahan dan pemberian rebat tersebut akan dibuat berdasarkan padanan maklumat nama, nombor kad pengenalan dan alamat premis yang terlibat.

“Bagi kes-kes tertentu yang tercicir iaitu contohnya mangsa banjir yang menetap di premis terjejas tetapi akaun bil air pula didaftarkan atas nama individu lain, permohonan tersebut hendaklah dikemukakan secara manual kepada SAP dan perlu mengisi borang permohonan khas bagi membolehkan semakan dan pertimbangan sewajarnya dibuat.

“Bantuan dan inisiatif tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri kepada mangsa yang terjejas banjir baru-baru ini,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bersempena program imarah Ramadan melibatkan penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dan Tambun Tulang di Dewan Warisan, di sini, semalam.

Sebagai rekod, kadar rebat yang telah diluluskan bagi pelaksanaan inisiatif tersebut adalah sebanyak 10 meter padu (10m³ @ 10,000 liter) atau RM8.80 bagi akaun pengguna yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Abu Bakar berkata, permohonan diterima lebih awal akan disemak dan disahkan terlebih dahulu manakala rebat berkenaan pula akan dikreditkan ke akaun bil air pemohon yang layak.

“Permohonan yang diterima kemudian akan diproses mengikut turutan penerimaan dan tarikh tutup adalah pada 31 Ogos ini.

“Pengguna terjejas adalah digalakkan untuk mengemukakan permohonan segera bagi mempercepatkan proses semakan dan kelulusan. Melalui pemberian rebat ini, mangsa banjir terlibat dianggarkan dapat menikmati penjimatan pada kadar sekitar RM20,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top