GERGASI hiburan Jepun, Sony bakal berdepan tindakan saman berkumpulan bernilai £2 bilion (kira-kira RM12 bilion) yang difailkan oleh pengguna PlayStation di United Kingdom, dengan perbicaraan dijadual bermula Selasa di Competition Appeal Tribunal di London.
Syarikat itu didakwa melanggar undang-undang persaingan dengan mengenakan caj berlebihan kepada jutaan pengguna PlayStation di UK.
Laman web plaintif menuduh Sony mengeksploitasi pelanggan di UK selama hampir sedekad dengan mengenakan harga terlalu tinggi bagi permainan digital PlayStation serta kandungan tambahan dalam permainan.
Kempen tindakan undang-undang itu dibawa oleh aktivis pengguna, Alex Neill, bagi pihak kira-kira 12.2 juta pengguna.
Menurutnya, tindakan tersebut bertujuan menghentikan amalan berkenaan serta mendapatkan pampasan kepada pengguna yang terjejas.
PlayStation Store merupakan platform digital rasmi untuk pemain membeli permainan seperti Gran Turismo dan God of War, selain judul popular daripada studio lain seperti Call of Duty, Grand Theft Auto dan Assassin’s Creed.
Plaintif mendakwa Sony mempunyai hampir monopoli dalam penjualan permainan digital bagi konsolnya, sekali gus membolehkannya menetapkan harga serta mengenakan komisen jualan sebanyak 30 peratus kepada penerbit permainan video.
Menurut mereka, platform pengedaran permainan PC yang menghadapi persaingan lebih sengit biasanya mengenakan komisen lebih rendah sekitar 12 hingga 20 peratus.
Plaintif juga mendakwa permainan video kini direka untuk menggalakkan pemain berbelanja sebanyak mungkin, termasuk kanak-kanak, bagi membolehkan mereka mara dalam permainan, membuka lebih banyak ciri atau menyesuaikan pengalaman dengan watak atau senjata baharu.
Mereka menegaskan harga yang dikenakan Sony adalah tidak seimbang dengan kos sebenar syarikat dalam menyediakan perkhidmatan tersebut kepada pelanggan.
Perbicaraan kes itu dijangka berlangsung kira-kira 10 minggu.
Tindakan undang-undang yang difailkan pada 2022 itu menuntut pampasan sebanyak £1.97 bilion (sekitar RM11.8 bilion) untuk dikongsi oleh sesiapa yang membeli permainan digital atau kandungan tambahan melalui PlayStation Store dalam tempoh sedekad hingga Februari 2026, dengan beberapa pengecualian terhad.
Di bawah undang-undang UK, semua individu yang berpotensi terjejas secara automatik termasuk dalam saman berkumpulan seperti ini dan boleh menerima pampasan sekiranya mahkamah memihak kepada plaintif, kecuali mereka memilih untuk menarik diri.
Sony belum memberi maklum balas segera terhadap permintaan AFP untuk komen, namun dalam pembelaannya syarikat itu berhujah bahawa model pengedaran yang digunakan adalah wajar.
Tahun lalu, Apple kalah dalam satu kes mahkamah di London selepas didapati menyalahgunakan kedudukan dominan dengan mengenakan komisen berlebihan melalui App Store.
Gergasi teknologi Amerika Syarikat itu yang bercadang mengemukakan rayuan mungkin perlu membayar balik pampasan kepada jutaan pengguna.



