Penghadang elak pelancong mahu bergambar berlatar Gunung Fuji

Penghadang elak pelancong mahu bergambar berlatar Gunung Fuji

Tokyo: Penghadang jaringan besar mula diletakkan di tempat popular melihat Gunung Fuji pada Selasa, dalam usaha menghalang pengambilan gambar berikutan jumlah pelancong yang semakin meningkat.

Penduduk tempatan di Fujikawaguchiko berkata, mereka sudah muak dengan sikap kebanyakan pengunjung asing yang membuang sampah, menceroboh dan melanggar peraturan lalu lintas, demi mengambil gambar pemandangan Gunung Fuji untuk dikongsi di media sosial.

Berikutan itu, kakitangan di situ mula memasang jaring hitam berukuran 20 meter pada tiang logam pada pagi Selasa di sepanjang jalan yang bertentangan dengan kedai serbaneka, kata seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

Sebelum ini, pengunjung akan berada di kaki lima kedai itu untuk merakam gunung yang dilitupi salji.

Pegawai tempatan dan penduduk berkata, penduduk bandar itu mengalu-alukan pelancong, tetapi mereka mengadu ada pelancong yang melintas jalan tanpa henti, mengabaikan lampu merah, meletak kenderaan secara haram dan merokok di luar kawasan yang ditetapkan mendatangkan kacau ganggu.

“Kami kesal terpaksa melakukan ini kerana sesetengah pelancong tidak boleh menghormati peraturan,” kata seorang pegawai bandar kepada AFP pada April, mengatakan bahawa tanda lalu lintas dan amaran daripada pengawal keselamatan gagal dipatuhi untuk memperbaiki keadaan.

Langkah itu juga bertujuan membantu klinik pergigian berhampiran kerana ada ketikanya pelancong meletak kenderaan tanpa kebenaran, malah dilihat memanjat bumbung untuk mengambil gambar.

Pembinaan penghadang itu sendiri pada mulanya ditangguhkan kerana masalah mendapatkan bahan yang betul dan memberi orang ramai beberapa hari lagi untuk mendapatkan gambar yang sempurna.

Bilangan pelancong luar negara datang ke Jepun mencapai rekod tertinggi, yang mana pelawat bulanan melebihi tiga juta buat kali pertama pada Mac dan sekali lagi pada April.

Sementara itu, pejalan kaki yang menggunakan laluan paling popular untuk mendaki Gunung Fuji pada musim panas ini akan dikenakan bayaran 2,000 yen (kira-kira RM60) seorang dengan penyertaan dihadkan kepada 4,000 yen (kira-kira RM119) untuk mengurangkan kesesakan.

Sistem tempahan dalam talian baharu untuk laluan Yoshida di gunung itu dibuka pada Isnin untuk menjamin kemasukan pejalan kaki melalui pintu masuk baharu, dengan 1,000 slot sehari.

Gunung Fuji dilitupi salji hampir sepanjang tahun, tetapi semasa musim mendaki iaitu pada Julai hingga September, lebih 220,000 pelawat menyusuri cerun yang curam dan berbatu.

Ramai mendaki sepanjang malam untuk melihat matahari terbit, dan ada yang cuba mencapai puncak 3,776 meter itu tanpa rehat dan akibatnya menjadi sakit atau cedera.

© New Straits Times Press (M) Bhd