Penghantar dakwa sistem VAMS KLIA bebankan pemandu, pengguna e-hailing

Penghantar dakwa sistem VAMS KLIA bebankan pemandu, pengguna e-hailing

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menyifatkan caj bayaran di laluan pelepasan dan ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai tidak masuk akal serta membebankan pemandu e-hailing dan pengguna.

Penghantar berkata, ujian sistem Vehicle Access Management System (VAMS) yang sedang dijalankan oleh Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) di Terminal 1 dan Terminal 2 mengakibatkan perjalanan ke lokasi ‘pick up’ memakan masa lebih lama .

“Sebelum ini, caj RM2 dikenakan kepada pemandu e-hailing di zon pick-up KLIA Terminal 2.

“Beberapa pengendali e-hailing termasuk Grab Malaysia mengambil inisiatif memulangkan semula caj berkenaan kepada pemandu.

“Bagaimanapun, sistem baharu ini menimbulkan rungutan pengguna kerana lokasi menunggu di Terminal 2 panas, tiada pengudaraan baik serta memberi imej negatif kepada pelancong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penghantar turut mempersoalkan sama ada ujian sistem VAMS sudah mendapat kelulusan Kementerian Pengangkutan.

“Adakah pengguna KLIA dan pemandu e-hailing dijadikan bahan ujian hingga menyusahkan semua pihak?

“Faktor seperti menunggu ruang untuk parkir, menurunkan penumpang terutama warga emas dan bagasi perlu diambil kira sebelum MAHB mahu mengenakan penalti RM100,” katanya.

Penghantar berkata, isu kesesakan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk MAHB mengenakan penalti, sebaliknya pihak pengendali lapangan terbang itu wajar menempatkan lebih ramai penguat kuasa trafik untuk mengawal laluan.

“Memang benar ada segelintir pemandu dan pengguna mengambil masa terlalu lama di laluan pelepasan, tetapi keadaan tidaklah sampai mencetuskan kesesakan teruk.

“Waktu puncak memang memerlukan lebih masa untuk menurunkan penumpang atau mengurus bagasi,” katanya.

Persatuan itu berkata, caj tambahan itu hanya akan menyebabkan pemandu menanggung kerugian, terutama jika masa menunggu melebihi had yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Penghantar mendesak Kementerian Pengangkutan campur tangan segera dan mencari jalan penyelesaian yang lebih praktikal.

“Kami mahu kementerian bekerjasama dengan penguat kuasa trafik bagi mengawal kesesakan, bukannya menggunakan pendekatan ‘one size fits all’ yang akhirnya membebankan pemandu e-hailing dan pengguna,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top