am@hmetro.com.my
Melaka: Penghantar makanan terbunuh selepas motosikal ditunggang, terbabas dan merempuh Peti Pembekal Voltan Rendah (Feeder Pillar) Tenaga Nasional Berhad di Jalan Ayer Keroh-Gapam, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa, Tan Tian Hau,48, yang menunggang motosikal Honda Dash maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Melaka Tengah menerima laporan kejadian pada 9.13 malam.
Katanya, sepasukan polis trafik ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut kemalangan itu, yang dipercayai berpunca akibat terbabas sendiri.
“Hasil siasatan awal mendapati penunggang dalam perjalanan dari arah Gapam menghala ke arah Ayer Keroh dan semasa sampai di lokasi dipercayai hilang kawalan lalu melanggar Feeder Pillar milik TNB di bahu jalan.
“Akibat pelanggaran mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh petugas perubatan dan mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Christopher berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




