mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Nash meminta peminat menggunakan fikiran yang waras sebelum mengeluarkan komen berbentuk kecaman terhadap nyanyiannya serta penyanyi otai seangkatan yang dikatakan teruk.
Nash atau Nashrudin Elias, 65, berkata, dia sudah menghasilkan album sejak 1986 serta mula dikenali pada tahun terbabit dan kemampuannya menyanyi tidak perlu dipertikai lagi.
“Sekarang ini dah 2025. Maknanya jarak masa itu bukan sedikit. Alhamdulillah… saya masih lagi dalam industri. Orang kenal saya. Malah pergi mana pun orang kenal saya. Yang paling penting ialah sumbangan kita kepada masyarakat.
“Saya akui pernah ditemubual oleh media sama ada media cetak mahupun elektronik dengan soalan bolehkah menyanyi lagu Tiada Lagi Kidungmu?, Pada Syurga Di Wajahmu? dan semua lagu-lagu Lefthanded yang ‘high pitch’ ?
“Saya kata sekarang umur saya dah 65 tahun. Kalau saya boleh menyanyi macam usia saya 20-an waktu lagu-lagu itu dirakamkan memang peliklah,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia menyedari komen-komen netizen berkenaan suaranya yang sudah tidak berbisa seperti dahulu.
“Netizen kalau harapkan saya menyanyi macam usia muda dulu, memang mereka kurang akal. Bagi saya dengan faktor usia sekarang, tak mungkin saya mampu menyanyi macam dulu.
“Tapi sekurang-kurangnya penyampaian lagu-lagu itu tidaklah teruk sangat. Macam saya menyanyi dengan Kai Deva dalam OIAM, alhamdulillah dapat sokongan daripada peminat. Penghayatan sesebuah lagu itu yang penting.
“Netizen ini, sebenarnya kita tak boleh nak ikut cara mereka. Banyak artis lama-lama yang dah tak boleh menyanyi seperti tenaga pada usia 20-an, tapi netizen fikir lain. Maknanya mereka salah. Harapnya ada pemikiran yang baik dan ada ayat yang molek daripada mereka,” katanya.
Pada usianya sekarang, Nash tampil dengan pendekatan berbeza menerusi program tazkirah yang diselitkan nyanyian yang menerima pujian ramai.
“Saya takut dengan pujian sebabnya bila kita menerima pujian, kita kena tahu semua datangnya dari Allah SWT.
“Alhamdulillah… tazkirah ini adalah satu majlis ilmu. Bila berada dalam majlis ilmu, saya kena sampaikan dengan sebaiknya kepada pendengar.
“Kalau dulu saya menyanyi, saya hanya kongsi lirik lagu yang disampaikan. Tapi bila duduk dalam majlis ilmu, kita kena cerita tentang lirik yang ditulis oleh penulis lirik untuk saya,” katanya.
Nash berkata, hampir 90 peratus lagu-lagu Lefthanded menyebut mengenai kebesaran Allah serta alam dan pencipta. Jadi dia tidak perlu lagi menukar lirik dalam persembahan yang diadakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd