Penghuni 130 rumah di Putra Heights dibenarkan pulang

Penghuni 130 rumah di Putra Heights dibenarkan pulang

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Sebanyak 130 unit rumah yang terbabit dengan tragedi letupan paip gas di Putra Heights, dekat sini, disahkan selamat dan penghuni dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, 130 unit rumah itu daripada keseluruhan 235 kediaman yang dikenal pasti di Taman Putra Harmoni.

Bagaimanapun, katanya, penghuni di Kampung Sungai Baru belum boleh dibenarkan pulang kerana keadaannya masih belum selamat sebagaimana laporan bomba, Tenaga Nasional Berhad dan jabatan berkaitan.

“Saya mengingatkan bagi penduduk yang belum mendapat kebenaran untuk pulang, saya harapkan mereka tidak pulang ke rumah masing-masing kerana tiada jaminan keselamatan.

“Dan saya juga akan memperketatkan lagi kawalan kemasukan ini kerana di pihak polis, ada kelonggaran tertentu sahaja untuk membenarkan mereka mengambil dokumen penting dengan diiringi pihak bomba di lokasi,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sekiranya mereka masuk ke lokasi berkenaan tanpa kebenaran dan pengetahuan pihak berkuasa, dikhuatiri berlaku perkara tidak diingini.

“Kalau mereka masuk sendiri tanpa melapor kepada komandan di lapangan terutamanya ataupun kepada pegawai kita di lapangan, saya bimbang akan berlaku insiden yang tidak kita ingini.

“Ada laporan mereka yang ke rumah terpaksa mendapatkan rawatan balik di pusat pemindahan sementara kerana mengadu sesuatu yang kurang selesa setelah mereka pulang.

“Apabila disemak, itu di kawasan Kampung Sungai Baru ataupun Kampung Kuala Sungai Baru yang belum ada kelulusan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top