Penghuni PPS keracunan, kualiti penyedia makanan dipersoal – Utusan Digital

SEGAMAT: Dua penghuni termasuk seorang kanak-kanak di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di daerah ini mengalami keracunan makanan dipercayai selepas menjamah juadah tengah hari, semalam.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nurkasih Segamat, Azizah Elias yang juga petugas di PPS berkenaan, dia menerima panggilan telefon pada pukul 2 pagi tadi daripada salah seorang penghuni PPS yang memaklumkan anaknya sakit perut dan muntah.

“Saya menerima panggilan daripada wanita itu yang berada di unit kecemasan Hospital Segamat, dia beritahu anaknya telah diberikan dua botol air drip kerana mengalami keracunan makanan.

“Mereka dipercayai menjamah menu tengah hari semalam yang tiba lewat di PPS tersebut pada pukul 1.45 petang, kami sebenarnya sudah mendapati makanan yang dihantar sebanyak 29 bungkus itu telah basi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, penghuni PPS di situ turut mengadu menu sayur kubis dan ayam masak kicap telah basi kerana mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, namun malangnya terdapat beberapa penghuni sudah menjamah makanan tersebut kerana terlalu lapar.

“Saya dan beberapa petugas PPS mengambil tindakan mengumpul semula semua bungkusan makanan yang diterima dan tidak benarkan penghuni memakannya. Pada pukul 2.30 petang pula, pihak penyedia makanan menghantar 50 bungkus lagi nasi bagi mencukupkan 79 bungkusan untuk semua penghuni di situ dengan menu sama tetapi tiada sayur kubis.

“Makan malam pula diterima pada pukul 7.15 malam dengan menunya masih sayur yang sama iaitu kubis. Dengan kualiti makanan basi, kuantiti yang tidak berbaloi dibayar dan kelewatan penghantaran, saya rasa ini tidak sepatutnya berlaku kerana yang jadi mangsa adalah penghuni PPS sampai ada yang keracunan makanan,” katanya.

Menurut Azizah, ia adalah penyedia makanan kedua yang dipertanggungjawab oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setelah pembekal pertama tidak dapat memenuhi permintaan penyediaan makanan kerana jumlah penghuni PPS yang bertambah kira-kira lima hari lalu.

Katanya, dia juga telah memaklumkan secara terus kepada pihak pembekal terbabit mengenai kualiti dan kuantiti makanan yang tidak memuaskan, namun perkara itu tidak diendahkan sebelum isu memuncak apabila ada penghuni yang keracunan makanan.

“Bukan niat saya untuk memanjangkan isu ini atau menutup periuk nasi sesiapa tetapi saya hanya mempertahankan hak penghuni PPS ini yang telah banyak menanggung kesusahan kerana banjir. Ramai yang sudah tiada duit, rumah tenggelam, harta benda musnah dek banjir.

“Mereka telah ditimpa musibah yang dasyat jadi menjadi tanggungjawab di PPS ini menjaga kebajikan dengan memberi yang terbaik untuk mereka dan keracunan makanan bukanlah isu kecil,” katanya.

Azizah yang juga pengusaha makanan berkata, sepatutnya dengan caj RM5 sekepala bagi menu sarapan pagi dan minum petang serta RM10 bagi makanan tengah hari dan makan malam, menu yang lebih memuaskan boleh disediakan pembekal.

“RM5 sarapan pagi boleh disediakan nasi goreng dan ayam seketul, soto nasi atau lontong berkuah lemak dan tambah sekeping dua kuih-muih siap air teh o atau kopi. Tetapi apa yang diterima penghuni amat menyedihkan dan pembekal seolah sambil lewa menyediakan makanan,” katanya.