nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Pengiktirafan Malaysia sebagai satu daripada 13 negara rakan secara rasmi dalam BRICS mampu merancakkan sektor getah kerana membolehkan negara mengeksport getah terus ke Rusia.
Pengerusi Lembaga Amanah Majlis Getah Malaysia (MRC) , Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, berkata ia membolehkan negara menerima bayaran terus mengikut kadar tukaran terkini mata wang negara berkenaan dengan Ringgit Malaysia (RM).
Katanya, berbeza sebelum ini apabila Rusia menjadikan China sebagai perantaraan dalam urusan pembelian getah berikutan Malaysia tidak dapat menjual secara terus disebabkan halangan tertentu.
“Hari ini apabila Malaysia berada dalam BRICS dan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia membolehkan kita mendapat kelonggaran dan menerima bayaran terus.
“Sebelum ini untuk eksport getah ke Rusia ada limit tertentu dan BRICS serta kerajasama Malaysia-Rusia memberi harapan baru kepada industri getah untuk negara mengeksport terus ke Rusia.
“Ini adalah perkara baharu kerana sudah sekian lama kita dapat cengkaman dari Amerika Syarikat dan Eropah. Namun kini kita sudah mendapat kelonggaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Jalinan Mesra MPN Keadilan Negeri Bersama Pengamal Media di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut katanya, sebagai langkah susulan, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemain industri bagi membincangkan berkaitan eksport getah ke negara Rusia.
Beliau berkata, perbincangan itu akan dilakukan esok dengan pemain industri.
Pada masa sama katanya, MRC dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) sudah menjumpai teknologi baharu berkait sistem torehan dalam meningkatkan lagi pengeluaran getah.
Katanya, menerusi kaedah itu sejumlah 420,000 hektar getah yang tidak ditoreh dan pokok-pokok getah lama dapat mengeluarkan semula hasil.
“Kita akan keluarkan lateks kerana harganya lebih baik berbanding getah keping,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara yang secara rasmi ditambah ke dalam BRICS sebagai negara rakan kongsi, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang kepada satu perlima perdagangan global.
© New Straits Times Press (M) Bhd