Pengorbanan ATM jangan dipertikai kerana salah segelintir – Adly

Pengorbanan ATM jangan dipertikai kerana salah segelintir – Adly

am@hmetro.com.my

Alor Gajah : Pengorbanan dan jasa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak wajar dipertikaikan hanya disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh segelintir individu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ketika ini jumlah anggota pertahanan negara melebihi 100,000 orang selain kira-kira 300,000 veteran yang pernah berkhidmat mempertahankan negara.

Menurut beliau, sebahagian besar anggota ATM mengorbankan masa, tenaga serta kepentingan keluarga, malah ada yang menggadaikan nyawa demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Jadi, tak timbul bahawa isu pengorbanan anggota pertahanan negara dipertikaikan, mungkin ada sebahagian pihak mengatasi undang-undang dan peraturan mereka akan dihukum.

“Tetapi kepercayaan kita terhadap anggota pertahanan kita tak pernah berbelah bahagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Makan Malam Yee Sang sempena Hiasan Tahun Baharu Cina 2006 bertemakan ‘Gadis Bunga’ di Kampung Permai Machap Umboo Baru, di sini, malam tadi.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah turut mengingatkan masyarakat supaya terus menghargai jasa dan pengorbanan warga ATM yang terbukti memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan serta keselamatan negara sejak sekian lama.

“Mereka juga ada keluarga dan tanggungjawab mereka.

“Ramai dalam kalangan mereka mengorbankan masa, tenaga dan nyawa untuk negara dan itu harus kita hargai,” katanya.

Semalam media melaporkan Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Azhan Md Othman mengesahkan sebanyak 15 pegawainya dikenal pasti terbabit dalam aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan budaya ‘Yeye’, seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata, siasatan dalaman sudah dilaksanakan dan kini dalam proses untuk mengambil tindakan yang adil dan telus terhadap pegawai berkenaan.️

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top