am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Alah bisa tegal biasa. Itulah perumpamaan sesuai untuk menggambarkan kegigihan guru yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga, berulang-alik ke sekolah dengan menaiki kereta api setiap hari bagi mencurahkan ilmu kepada anak bangsa di pedalaman.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, Wan Marina Ridwana Wan Ruhaimi, 32, berkata, seawal jam 4.20 pagi dia sudah berada di Stesen Kereta Api Tanah Merah untuk menunggu kereta api ke sekolah.
Menurutnya, dia memulakan perjalanan seawal jam 3.30 pagi dari rumahnya yang terletak di Selising, Pasir Puteh sebelum menaiki kereta api di Stesen Kereta Api Tanah Merah sekitar jam 4.40 pagi dan tiba di sekolah sekitar jam 7.20 pagi.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, perjalanan jauh ini menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi, namun dia menganggapnya sebagai satu pengorbanan demi memastikan tanggungjawab sebagai pendidik dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Saya memilih menaiki kereta api kerana kosnya lebih jimat selain membolehkan saya berehat sepanjang perjalanan memandangkan perlu bangun awal setiap hari.
“Sebelum ini, saya mengajar di SMK Seri Utama, Petaling Jaya selama empat tahun dan kini sudah lapan bulan bertugas di SMK Dabong. Pengalaman berulang-alik menaiki kereta api ke sekolah memberi cabaran tersendiri,” katanya yang mengajar mata pelajaran Perniagaan, Pendidikan Jasmani dan Geografi, ketika ditemui.
Katanya, selepas beberapa bulan bertugas di kawasan pedalaman, dia sudah terbiasa dengan rutin berkenaan dan tidak menganggapnya sebagai satu beban.
“Saya pernah tertinggal kereta api sebanyak lima kali sehingga terpaksa memandu sendiri ke sekolah dengan jarak perjalanan sejauh 264 kilometer pergi dan balik,” katanya.
Sementara itu, Ismail Dollah, 53, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dabong yang terletak kira-kira 140 kilometer dari sini akan menaiki kereta api dari Stesen Kereta Api Wakaf Bharu pada jam 3.30 pagi sebelum tiba di Stesen Kereta Api Dabong kira-kira 7.15 pagi.
Sebaik azan subuh berkumandang, dia terus mengambil wuduk dan menunaikan tanggungjawabnya walaupun terpaksa menghampar sejadah di dalam gerabak.
Ismail berkata, itulah rutin dilaluinya sejak tiga tahun lalu demi memastikan amanah sebagai pendidik meskipun terpaksa mengorbankan waktu tidur dan keselesaan diri.
“Setiap hari, saya perlu memulakan perjalanan seawal jam 3.30 pagi dengan keluar dari rumah di Bukit Marak menuju ke Stesen Kereta Api Wakaf Bharu untuk menaiki ke sekolah.
“Selepas tamat sesi persekolahan, saya akan menaiki kereta api dari Stesen Kereta Api Kuala Gris sekitar jam 2.50 petang dan tiba semula di Stesen Kereta Api Wakaf Bharu kira-kira jam 6 petang,” katanya yang pernah berkhidmat selama 20 tahun di Sabah.
Katanya, tiket kereta api hanya RM5 sehala, menjadikan kos pergi dan balik sekitar RM10 sehari.
“Pengalaman berulang alik menaiki kereta api adalah pengalaman ‘unik’ sepanjang bergelar pendidik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



