am@hmetro.com.my
Seri Kembangan: Memberi ruang untuk pelajar menguasai bahasa-bahasa lain selain Bahasa Melayu sesuatu yang menguntungkan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, biarpun pengukuhan penguasaan Bahasa Melayu diberi keutamaan, namun penguasaan dalam bahasa Cina umpamanya, juga diperlukan kerana kedudukan bahasa itu sendiri yang penting dalam ekonomi dan pelaburan.
“Dalam negara merdeka, berdaulat dan demokratik, semua mesti terima kenyataan bahawa, menyantuni dan memberi ruang kepada perkembangan bahasa-bahasa lain itu (sesuatu yang) menguntungkan, tidak merugikan.
“Sebab itu, dalam isu bahasa, kita ambil keputusan untuk anak-anak kita. Asalkan mereka semua terima kedudukan Bahasa (Melayu). Oleh kerana dia di Malaysia, mesti tahu sejarah negaranya, maka belajarlah.
“Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina penting. Bahasa Cina ini sudah menjadi bahasa ekonomi yang penting di rantau Asia dan di dunia. Di banyak universiti di barat sekarang, elektifnya dan bahasa pilihannya juga Bahasa Cina,” katanya.
Justeru katanya, adalah satu kerugian jika Malaysia, bukan saja bertindak untuk terus memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasminya, tetapi juga mengangkat kedudukan dan modul penguasaan Bahasa Cina.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Huazong 2026 di sini, hari ini.
Turut sama hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Presiden Huazong, Datuk Lim Kah Chuan serta Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Dalam pada itu Anwar berkata, kadang-kadang Malaysia ini terlalu banyak diheret dengan isu-isu kecil termasuk yang menyentuh hal sensitif dan soal perkauman.
“Kita lupa, kalau ekonomi kita tidak kukuh, kalau pelaburan tidak meningkat, tidak ada harapan bagi anak-anak muda kita. Pekerjaan mereka, keperluan pendidikan mereka.
“Kembalikan fokus kita. Mahu berjaya, bukan kerana nak puaskan hati satu, dua pihak. Mahu berjaya, fokus pada isu ekonomi. Fokus kepada kepentingan rakyat.
“Saya yakin, kalau kita mula dengan pandangan dan sikap sedemikian, Malaysia punya potensi sangat baik. Kita dalam keadaan ‘future’ yang sangat baik sekarang. Apa yang perlu, bersatu, bekerja, angkat martabat negara ini menjadi negara hebat di rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu bersatu menolak anasir sekumpulan individu dan pihak-pihak tertentu yang suka membangkit dan memprovokasi isu-isu perkauman.
“Yang nak kacau, timbul masalah, hari-hari marah-marah, ini kumpulan kecil. Rakyat terbanyak ini mahu negara ini aman, ekonominya maju dan hormat semua budaya dan agama dalam negara ini.
“Kita kadang-kadang terkesan dengan pandangan sekelompok kecil. Ya, boleh, tetapi kadang-kadang sangat berlebihan. Sebahagian besar mahukan keamanan, perpaduan, kemakmuran. Jangan dibiarkan kelompok yang hanya timbulkan masalah ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




