Penguat kuasa PBT dipukul penjual rokok haram, satu suspek ditahan, beberapa lagi diburu

Penguat kuasa PBT dipukul penjual rokok haram, satu suspek ditahan, beberapa lagi diburu

am@hmetro.com.my

Sandakan: Seorang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki ketika membuat rondaan di Pasar Batu 8, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa bersama rakan sekerjanya dikatakan menjalankan rondaan bagi memantau aktiviti perniagaan dan menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan pasar itu.

Teguran itu bagaimanapun mencetuskan perselisihan faham sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan beberapa individu, sebelum mangsa mendakwa diserang oleh beberapa lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 50 tahun mengalami lebam di beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk mendapatkan rawatan.

“Kita memulakan siasatan sejurus menerima laporan daripada mangsa dan sudah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Setakat ini, satu tangkapan sudah dibuat dan polis masih menumpukan usaha untuk mengesan beberapa lagi suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186, 332 dan 147 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi kira-kira satu minit tular di laman sosial yang memaparkan mangsa dipukul beramai-ramai sehingga ke kawasan tempat letak kenderaan pasar.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan dalam kenyataannya memberi amaran tegas kepada penjual rokok haram untuk menghentikan kegiatan itu.

Beliau berkata, walaupun kesalahan rokok seludup berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kementeriannya akan meningkatkan usaha membanteras aktiviti berkenaan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menjual rokok haram, terutama yang bertindak seperti samseng dan mengganggu pegawai yang menjalankan tugas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top