Pengubat jiwa buat Ter Stegen

Pengubat jiwa buat Ter Stegen

Berlin: Penjaga gol Marc Andre ter Stegen berkata, akhirnya penantian selama 12 tahun untuk menggantikan Manuel Neuer sebagai penjaga gol nombor satu Jerman dirasakannya sebagai ‘ubat untuk jiwa’.

Pertama kali dipanggil ke skuad pada tahun 2012, kapten Barcelona, Ter Stegen, akan beraksi sebagai pilihan tetap nombor satu Jerman di gawang menentang Hungary di Duesseldorf pada hari Ahad.

Dalam mengumumkan Joshua Kimmich akan menggantikan Ilkay Gundogan sebagai kapten Jerman, jurulatih Julian Nagelsmann berkata: “Ter Stegen adalah penjaga gol nombor satu yang baharu.”

Pemain berusia 32 tahun itu memiliki karier kelab yang berjaya, memenangi Liga Juara-Juara 2015 serta lima gelaran La Liga dan lima Piala Sepanyol bersama Barcelona.

Ter Stegen, yang tiba di Catalonia dari kelab zaman kanak-kanaknya Borussia Moenchengladbach pada tahun 2014, bermain sebanyak 40 kali untuk Jerman tetapi tidak dapat mengatasi Neuer.

Dengan Neuer, yang dianggap sebagai antara penjaga gol terbaik sepanjang zaman, bersara dari tugas antarabangsa pada bulan Ogos, Ter Stegen berkata, bahawa mengetahui dirinya adalah penjaga gol utama Jerman adalah ‘perasaan yang berbeza’.

“Saya gembira penantian ini berakhir,” kata Ter Stegen kepada wartawan dari kem Jerman di Bavaria Herzogenaurach, sambil mengatakan pujian yang diterimanya sejak pelantikan itu adalah ‘ubat untuk jiwa’.

“Saya menantikan tugas baharu ini dan apa yang saya hadapi. Saya mahu berjaya.”

Ter Stegen mendedahkan bahawa dia menangani kekecewaan ‘secara profesional’ walaupun merasa ‘kecewa’, tetapi menambah ‘sentiasa ada saat-saat di mana anda berkata ‘wow, itu satu tamparan lagi’.

Selepas perlawanan mereka menentang Hungary, Jerman akan ke Amsterdam untuk berdepan dengan Belanda Rabu depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top