lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelaksanaan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat yang akan dilaksanakan mulai tahun ini berpotensi membantu mengenal pasti masalah keciciran pembelajaran (learning poverty) dengan lebih tepat, selari dengan amalan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Timbalan Dekan Penyelidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Zuwati Hasim berkata, langkah memperkenalkan pengukuran pada Tahun Empat berbanding mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dilihat sebagai pendekatan lebih progresif oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurutnya, penilaian baharu itu memberi tumpuan kepada penilaian bersifat diagnostik, bukannya berorientasikan gred semata-mata.
“Pendekatan baharu ini membolehkan tahap penguasaan sebenar murid dalam kemahiran asas seperti literasi, numerasi serta kefahaman konsep dikenal pasti lebih awal, sekali gus menjadikan intervensi yang dirancang lebih tepat dan berkesan.
“Tahun Empat adalah tahap yang sesuai kerana murid sudah melalui sekurang-kurangnya tiga tahun pembelajaran asas di sekolah rendah.
“Pada peringkat ini, sebarang kelemahan dalam membaca, menulis, mengira dan memahami konsep sepatutnya sudah dapat dikenal pasti dengan lebih jelas,” katanya kepada Harian Metro.
Zuwati berkata, kajian awal yang dilaksanakan pihaknya di beberapa sekolah terpilih mendapati masih terdapat murid Tahap Dua berusia 10 hingga 12 tahun yang berdepan masalah literasi, sekali gus menunjukkan keperluan kepada pengesanan awal dan intervensi bersasar.
Katanya, melalui pengukuran berkenaan, guru dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dengan lebih terperinci, seterusnya merancang strategi pengajaran mengikut tahap penguasaan sebenar selaras dengan ketetapan kurikulum.
“Pengesanan awal memberi ruang kepada guru, pihak pengurusan sekolah dan ibu bapa untuk bersama-sama membantu meningkatkan pembelajaran murid.
“Tempoh dua tahun di Tahap Dua adalah masa yang mencukupi untuk melaksanakan program pemulihan sekiranya perancangan penambahbaikan dibuat secara sistematik,” katanya.
Beliau yang juga penerima Geran Transformasi Global Kajian Pengajaran dan Pembelajaran Literasi Sekolah Rendah menyarankan agar kerjasama antara sekolah di bawah KPM dan universiti yang mempunyai program pendidikan serta latihan perguruan diperkukuhkan.
“Kerjasama ini wajar khususnya dalam aspek penyelidikan, latihan dan pelaksanaan intervensi bagi menyokong perkembangan pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah rendah,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 berkata, Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat akan dilaksana mulai 2026 membabitkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Beliau dilaporkan berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan tahap penguasaan murid dapat dikenal pasti lebih awal seterusnya membolehkan intervensi dibuat secara lebih tersasar bagi meningkatkan kualiti pendidikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




