Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan pengumuman langkah-langkah baharu oleh Perdana Menteri sebagai bukti kepekaan Kerajaan MADANI terhadap keperluan rakyat dan usaha berterusan menjamin kesejahteraan negara.
Menurut Fahmi, langkah tersebut bukan sahaja melegakan rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup, malah turut menjadi pemangkin kestabilan ekonomi dalam menghadapi cabaran global.
“Pengumuman ini membuktikan kepekaan Kerajaan MADANI terhadap denyut nadi rakyat serta komitmen untuk meringankan beban melalui pelbagai bentuk bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengumuman PM Anwar bukti keprihatinan
Tegas beliau, setiap langkah yang diambil oleh kerajaan adalah hasil pertimbangan teliti berlandaskan prinsip keadilan sosial dan kemampanan ekonomi.
“Pendekatan ini bukan hanya memberi kelegaan, malah akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan daya tahan fiskal negara,” katanya lagi.
Artikel lain: Harga minyak turun ke? Video ‘teaser’ pengumuman PM Anwar buat ramai berteka-teki
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), Fahmi turut menyeru seluruh rakyat Malaysia menyemarakkan semangat patriotisme dan menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi sejak lebih enam dekad lalu.
“Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa, menghargai nikmat kemerdekaan, dan bersama-sama menyumbang kepada kemakmuran negara,” ujarnya.
Fahmi juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan Malaysia MADANI yang sedang digarap, demi manfaat seluruh rakyat.
Sumber: FB Fahmi Fadzil