Pengumuman PM Anwar: Penangguhan kenaikan tol beri manfaat lebih 900,000 pengguna – Nanta

Pengumuman PM Anwar: Penangguhan kenaikan tol beri manfaat lebih 900,000 pengguna – Nanta

Keputusan Kerajaan MADANI menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya di seluruh negara dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 941,000 pengguna, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata langkah itu mampu meringankan beban rakyat, khususnya pengguna harian yang bergantung kepada lebuh raya untuk ulang-alik ke tempat kerja.

“Seperti disebutkan oleh Perdana Menteri, pada tahun ini kadar tol bagi 10 lebuh raya tersebut sepatutnya dinaikkan mengikut perjanjian konsesi yang dimeterai pentadbiran terdahulu.
“Namun, Kerajaan MADANI amat memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini. Maka keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol ini dibuat selepas pertimbangan teliti dan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penangguhan kenaikan tol beri manfaat

Sebagai balasan terhadap komitmen tersebut, Nanta memaklumkan kerajaan melalui Kementerian Kewangan akan menyalurkan pampasan lebih RM500 juta kepada syarikat konsesi terlibat. Langkah itu penting bagi memastikan operasi serta penyelenggaraan lebuh raya berjalan lancar dan kekal selamat untuk semua pengguna.

Menurut beliau, meskipun keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, ia membuktikan bahawa suara rakyat sentiasa diberi keutamaan dalam dasar-dasar kerajaan.

“Saya dan seluruh warga Kementerian Kerja Raya kekal komited untuk memastikan jalan raya dan lebuh raya di negara ini sentiasa dalam keadaan baik dan selamat serta boleh dimanfaatkan oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.

Artikel lain: 85% rakyat kini bayar bil elektrik lebih rendah – Fadillah

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan penghargaan kepada rakyat Malaysia sempena sambutan bulan kemerdekaan berkata, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol supaya pengguna terus menikmati kadar sedia ada.

Antara lebuh raya yang terlibat dalam penangguhan ini ialah Lebuhraya Senai–Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) serta Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX).

Langkah ini disambut baik oleh pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan Kerajaan MADANI dalam mendahulukan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan yang diambil.

Sumber: FB Alexander Nanta Linggi

Scroll to Top