Papar: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencerminkan pendekatan menyeluruh dan signifikan dalam usaha kerajaan menangani kos sara hidup yang dihadapi melalui beberapa inisiatif yang bakal memberi manfaat kepada jutaan rakyat Malaysia.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif utama yang diumumkan termasuk peluasan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan memberi manfaat kepada 22 juta warganegara berusia 18 tahun ke atas dengan peruntukan RM2 bilion.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata, melalui program ini, rakyat boleh menebus RM100 yang dimasukkan ke dalam MyKad mereka di lebih 4,000 premis yang menyertai program SARA di seluruh negara untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras dan telur.
“Ini (dilaksanakan) setelah maklumat diberi kepada Perdana Menteri dalam beberapa perbincangan dengan anggota Jemaah Menteri, menunjukkan beliau cakna, prihatin dan sangat sensitif terhadap keluh-kesah rakyat mengenai isu kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hari Bersama Komuniti di NADI Kampung Langkuas Kinarut dekat sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Suriani Ahmad.
Fahmi berkata, selain SARA, kerajaan turut memperluas pelaksanaan program Jualan Rahmah dengan menggandakan peruntukan daripada RM300 juta kepada RM600 juta.
“Perdana Menteri telah menyatakan setiap daerah sekurang-kurangnya akan mempunyai satu lokasi Jualan Rahmah.
“Jadi dalam dua perkara ini (SARA dan Jualan Rahmah), kita lihat fokus Perdana Menteri adalah terhadap isu kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga mengumumkan penurunan harga petrol RON95 daripada harga semasa kepada RM1.99 seliter dengan mekanisme penurunan harga itu akan diumum oleh Kementerian Kewangan.
“Ini membuktikan bahawa setelah dua setengah tahun kita bergelut dengan masalah defisit, masalah menguruskan isu tadbir urus dan meyakinkan pelabur bahawa Malaysia terus menjadi destinasi baik untuk pelaburan, maka hari ini adalah apa yang Perdana Menteri pulangkan semula kepada rakyat,” katanya.
Fahmi berkata, Perdana Menteri juga memberi petunjuk bahawa pengumuman itu hanyalah permulaan kerana pada 31 Julai ini, beliau akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 dan pada Oktober nanti, Belanjawan MADANI 2026 pula dibentangkan di Parlimen.
“Insya-Allah pada bulan Oktober, Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan MADANI 2026 dan di situ, kita akan lihat inisiatif yang lebih mendalam, lebih meluas dan lebih peka kepada isu-isu yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd