luqman.arif@bh.com.my
KOTA TINGGI: Corak sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Johor pada 12 Mac depan tidak hanya bersandarkan faktor pengundi tegar yang digambarkan sebagai ‘deposit’ tetap parti tertentu.
Keputusan pilihan raya di negeri paling selatan Semenanjung itu sebaliknya bakal berpandukan beberapa kemungkinan, termasuk sokongan pengundi atas pagar, golongan muda dan pengundi luar kawasan.
Penganalisis politik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Mohd Akbal Abdullah, berkata unjuran Barisan Nasional (BN) bakal melakar kemenangan selesa sebenarnya sukar ditentukan.
Katanya, situasi PRN Johor ibarat kertas litmus yang memberi kesan kepada rantaian aspek politik dan demokrasi.
“Sebenarnya, buat masa ini tiada satu parti pun boleh menang selesa, justeru mungkin terlalu awal untuk kita katakan siapa boleh menang.
“Memang nampak beberapa calon bergerak dengan bagus, tidak kira pembangkang atau BN, tetapi corak aliran pengundian semasa di Johor bakal ditentukan pelbagai aspek.
“Bacaan paling tepat mungkin boleh ditentukan menjelang dua hingga empat hari sebelum pengundian, malah itu pun boleh jadi ralat.
“Ada satu lagi faktor penentu keputusan iaitu kadar pengundi luar yang pulang ke Johor untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.
Berdasarkan sentimen semasa, Mohd Akbal berkata, rata-rata masyarakat muak dengan suasana politik tidak berkesudahan di Malaysia, sekali gus bakal mempengaruhi kadar keluar mengundi.
Selain itu, katanya, ada kelompok pengundi tidak menghiraukan asas atau alasan di sebalik keperluan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Ada yang tidak boleh terima kenapa perlu bubar DUN, sedangkan kerajaan masih berfungsi dan kelompok seperti ini lazimnya tidak akan keluar mengundi atau cuba memberi mesej tertentu.
“Selalunya mereka akan memberikan sokongan kepada parti baharu atau yang belum pernah diberikan mandat untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
“Oleh itu, sekarang semua pengundi boleh dikatakan dalam keadaan memerhati, dengan mengambil kira tawaran yang ingin dikemukakan dan agenda mereka jika diberikan mandat,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Syed Abdullah, berkata wujud tiga kumpulan pengundi yang bakal menentukan corak sokongan menjelang 12 Mac depan.
Jelasnya, ia merangkumi pengundi amat tegar atau totok, pengundi tegar dan pengundi kurang tegar.
“Pengundi totok memang setiap parti pun ada, akan berikan sokongan waima apa yang berlaku sekali pun, manakala dua lagi kumpulan ini ada faktor pengaruh lain.
“Pengundi tegar ini ibarat pengundi atas pagar yang sokongannya boleh beralih arah, bergantung kepada isu pada saat-saat akhir atau ketika berkempen.
“Pengundi kurang tegar merangkumi pengundi muda yang corak sokongan mereka sukar dibaca, sebab tiada ‘niat’ untuk terbabit dalam urusan demokrasi sebab mereka didaftarkan secara automatik.
“Berbanding dengan kelompok lebih berusia, mereka berjalan dan mengharungi pelbagai proses untuk mendaftarkan diri, justeru mempunyai niat ke arah membuang undi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




