Pengundi, wakil rakyat AS digesa beri tekanan kepada Trump henti perang

Pengundi, wakil rakyat AS digesa beri tekanan kepada Trump henti perang

SHAH ALAM – Pengundi dan wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) digesa menekan Presiden Donald Trump daripada menyerang grid elektrik Iran sekiranya negara itu tidak menarik balik sekatan Selat Hormuz menjelang pagi Selasa (waktu Malaysia) dan mengambil alih Cuba.

Dalam satu kenyataan bersama, pengundi AS mempunyai kuasa untuk menghentikan perang dan memaksa presiden mereka mencari jalan keluar dan merundingkan gencatan senjata.

Menurutnya, apatah lagi situasi kini menunjukan harga minyak yang melambung tinggi, rantaian bekalan global terganggu dan bilangan rakyat AS terbunuh dan cedera meningkat.

“Walaupun rakyat Iran tidak boleh bangkit dan menentang kerajaan mereka seperti yang dikehendaki Trump namun rakyat AS boleh menggunakan kuasa politik yang besar terhadap presiden dan penggubal undang-undang mereka apabila semua 435 kerusi Dewan dan 33 kerusi Senat dibuka untuk pilihan raya pada 3 November 2026.

“Sebagai tindak balas kepada ultimatum 48 jam Trump, Iran telah berikrar untuk membalas dengan mengebom kemudahan tenaga dan air di negara-negara Teluk.

“Trump yang melaksanakan ugutannya akan membahayakan berjuta-juta nyawa, berpotensi meningkatkan perang Iran sehingga tidak dapat dipulihkan dan mendedahkan rakyat AS kepada serangan di dalam dan luar negara,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA), Gabungan untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Tambah kenyatan itu, tanggungjawab politik dan moral bukan sahaja terletak pada Trump dan penyokongnya di Dewan Perwakilan dan Senat, tetapi juga majoriti yang senyap di Amerika Syarikat.

Jelasnya, jika berjuta-juta pengundi AS tidak menentang, mereka bersubahat dan bersetuju untuk meningkatkan perang yang telah mengorbankan hampir 3,000 nyawa di Iran, Lubnan dan negara-negara jiran.

“Trump yang sedang mempertimbangkan pencerobohan lain ke atas Cuba menunjukkan bahawa beliau percaya bahawa rakyat AS tidak kisah dengan peperangan selagi negara itu menang dan kemenangan di Cuba boleh menebus kemunduran yang memalukan di Iran,” ulasnya.

Mereka berpendapat, bagi membuka semula Selat Hormuz dan mengurangkan sekatan ke atas rantaian bekalan minyak dan global, satu-satunya cara adalah dengan memaksa AS menghentikan serangannya ke atas Iran.

“Tanpa sokongan daripada negara Barat yang lain, Trump akhirnya akan terpaksa menghentikannya,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Pengundi dan wakil AS digesa menekan Presiden Trump dari menyerang grid elektrik Iran
  • Pengundi berkuasa menghentikan perang dan memaksa presiden merundingkan gencatan senjata
  • Trump diugut akan membahayakan berjuta-juta nyawa dengan meningkatkan perang Iran
  • Kenyataan bersama ditandatangani oleh empat organisasi, termasuk Projek SAMA dan Bersih
  • Trump dipercaya sedang mempertimbangkan untuk menyerang Cuba sebagai penebusan kegagalan di Iran
Scroll to Top