Pengurangan subsidi telur: Persatuan penternak risau kesan rantaian

Pengurangan subsidi telur: Persatuan penternak risau kesan rantaian

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Sebarang kesan rantaian termasuk perubahan harga telur ayam susulan kadar subsidi bahan mentah itu dikurangkan kepada lima sen daripada 10 sen bermula esok, hanya dapat ditentukan seminggu lagi.

Pengerusi Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lim Ka Cheng, berkata ia berikutan harga pasaran bahan keperluan termasuk telur ayam ditentukan oleh faktor bekalan dan permintaan.

Katanya, bekalan telur ayam di pasaran adalah mencukupi ketika ini.

“Jangka hayat telur ayam segar bertahan hanya seminggu dan untuk minggu ini bekalan telur ayam mencukupi.

“Oleh itu, kita perlu melihat dulu minggu hadapan sama ada terdapat kesan rantaian terutama dari segi harga telur ayam akan mengalami kenaikan atau tidak, selepas pusingan bekalan telur seminggu ini habis.

“Pengeluar telur ayam sebenarnya terkejut dengan pengumuman Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenai langkah pengurangan kadar subsidi kepada lima sen bermula esok, kerana subsidi ini memberi manfaat kepada pengguna susulan harga telur yang dapat dibeli dengan harga lebih murah.

“Ia berikutan langkah (pengurangan subsidi) itu tidak dimaklumkan dengan pemain industri dan kita bimbang akan ada kesan rantaian terhadap pengumuman berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hari ini, kadar subsidi telur ayam dikurangkan kepada lima sen daripada 10 sen bermula esok dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilaporkan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil.

Katanya, ia terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu yang mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga kompetitif.

Mengulas lanjut, Ka Cheng berkata walaupun harga ayam dan telur ayam di negara ini antara terendah di Asean, namun ia tidak menjamin harga akan terus kekal sepanjang masa.

“Ini kerana lebih 90 peratus dedak jagung makanan utama ternakan ayam negara ini diimport sepenuhnya dari luar terutama Brazil dan Argentina.

“Dengan ketidaktentuan ekonomi termasuk pelaksanaan tarif, harga dedak import dijangka akan turut melonjak sekali gus akan mempengaruhi harga akhir bahan keperluan.

“Oleh itu, kami amat berharap kerajaan melakukan libat urus bersama pemain industri jika melakukan sebarang perubahan polisi, supaya tiada pihak terutama pengguna dan penternak, terpaksa menanggung kesan besar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top