rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengurup wang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, lelaki terbabit antara individu terbaharu yang ditahan bagi siasatan lanjut kes berkenaan.
“Semasa dalam reman dua hari, dia tiba-tiba mengadu sakit jantung. Kami segera merujuknya kepada doktor yang mengesahkan bahawa dia mengalami masalah jantung tersumbat.
“Berikutan itu, SPRM tiada pilihan selain melepaskan suspek kerana keadaan kesihatannya supaya dia boleh mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Dalam pada itu, Azam berkata, proses rakaman keterangan bekas Perdana Menteri itu berkemungkinan akan mengambil masa beberapa hari lagi.
“Saya tidak dapat meramalkan bila proses ini akan selesai, tetapi saya boleh katakan ia akan mengambil beberapa sesi lagi.
“Proses rakaman keterangan masih berjalan dan terdapat ramai lagi individu yang akan diambil keterangan,” katanya.
Azam menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada pasukannya untuk menjalankan siasatan menyeluruh, adil dan telus dalam kes berkenaan.
Hari ini, Ismail Sabri memberi keterangan lebih enam jam kepada SPRM dan dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada 4.35 petang.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
© New Straits Times Press (M) Bhd




