harisfadli@hmetro.com.my
Putrajaya: Seorang lelaki Bangladesh ditahan bersama wang tunai RM1.21 juta dipercayai hasil kegiatan pengurupan wang secara haram di sebuah kondominium, di sini, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya turut menahan lima warga Bangladesh dipercayai pelanggan sindiket itu yang dikenali sebagai ‘Rohim’.
“Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan menahan seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai dalang utama.
“Turut ditahan lima lelaki warga Bangladesh dipercayai sebagai pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semakan mendapati dalang kegiatan itu memiliki pas penggajian manakala lima pelanggan terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, siasatan awal mendapati, sindiket itu menjalankan aktiviti mengurup wang tanpa lesen di sebuah kondominium mewah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Suspek menyasarkan warga Bangladesh di sekitar Lembah Klang yang ingin menghantar wang ke negara asal mereka.
“Imigresen menyita wang tunai berjumlah RM1.21 juta yang disyaki hasil dari aktiviti pengurup wang tidak berlesen, buku catatan urus niaga dan dua unit telefon bimbit.
“Turut disita sebuah Perodua Alza yang digunakan oleh sindiket ini,” katanya.
Menurutnya, pihak JIM turut mengeluarkan notis hadir ke pejabat ke atas dua lelaki Bangladesh dan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan.
Zakaria berkata, kesemua enam warga asing berusia lingkungan 26 hingga 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 56(1)(d), dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
© New Straits Times Press (M) Bhd




