Pengurup wang jadi tumpuan

Pengurup wang  jadi tumpuan

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Premis pengurup dan pengirim wang menjadi tumpuan pelanggan susulan nilai ringgit kini mencecah RM3.96 berbanding dolar Amerika Syaerikat (AS) setakat tengah hari semalam.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pusat tukaran wang atau pengurup wang di pusat beli-belah sekitar ibu negara mendapati rakyat tempatan juga mengambil peluang daripada pengukuhan nilai ringgit untuk membeli mata wang rupiah Indonesia dan baht Thailand.

Pekerja premis tukaran wang asing di Jalan Conchrane, S Krihnan berkata, pengukuhan nilai ringgit sejak beberapa hari lalu menyebabkan kebanyakan pelanggan yang berada di premisnya khususnya pelancong asing mengambil kesempatan menukar duit untuk perbelanjaan di Malaysia.

Menurutnya, kadar jualan dolar AS di premis berkenaan ketika ini sekitar RM4.05, tidak termasuk caj perkhidmatan manakala kadar belian pula sekitar RM3.88 bagi setiap dolar AS berbanding RM4.10 sebelum ini.

“Apabila ringgit mencecah sekitar RM3.88 berbanding dolar AS sebelum ini, memang ramai warga asing datang tukar duit, kebanyakannya pelancong.

“Orang tempatan pula jarang tukar ringgit kepada dolar AS,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, rakyat tempatan lebih berminat menukar ringgit kepada mata wang negara jiran seperti rupiah Indonesia dan baht Thailand, susulan nilai tukaran yang lebih menguntungkan.

“Sekarang RM246 sudah boleh dapat 1 juta rupiah Indonesia, sedangkan sebulan lalu nak dapat satu juta rupiah perlu sekitar RM300. Untuk baht Thailand pula, RM100 boleh dapat kira-kira 767 baht,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekerja premis pengurup wang di Batu Gajah, Perak, Liyana Ramli, 28, berkata, berlaku peningkatan jumlah pelanggan terdiri daripada pekerja asing yang hadir ke premis bagi membuat penghantaran wang ke negara asal, berbanding tempoh sama bulan lalu.

Menurutnya, pengukuhan ringgit memberi kesan positif khususnya kepada pekerja asing yang membuat kiriman wang ke negara asal seperti Indonesia dan Bangladesh kerana jumlah yang diterima menjadi lebih tinggi.

“Kalau sebelum ini nak hantar 1 juta rupiah perlu RM300 termasuk caj, sekarang sekitar RM246 sudah boleh dapat jumlah yang sama. Beza hampir RM60 berbanding tahun lalu,” katanya.

Liyana berkata, dalam tempoh enam hari kebelakangan ini, nilai ringgit dilihat agak stabil dan kukuh, sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan untuk membuat transaksi kiriman wang.

“Pelanggan pun gembira sebab tak sangka dengan jumlah ringgit yang sama, mereka boleh hantar lebih banyak duit ke negara asal. Secara keseluruhan, minggu ini menunjukkan peningkatan berbanding minggu lalu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top