Pengurus anak syarikat Felda, setiausaha koperasi ditahan rasuah

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Dua suspek berusia 39 dan 50 tahun itu ditahan secara berasingan, kata sumber.

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengurus anak syarikat milik Felda dan setiausaha koperasi peneroka Felda kerana dipercayai menerima rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal dijalankan mendapati pengurus syarikat tersebut telah menerima wang rasuah lebih RM140,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja selenggara di ladang kelapa sawit kendalian syarikat itu, di FeldaTenggaroh 6 Mersing, Johor.

“Suspek lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor hari ini kira-kira jam 3 petang tadi bertugas di Bukit Besar, Kulai.

“SPRM cawangan Segamat menahan seorang setiausaha koperasi peneroka Felda berusia 50 tahun semalam di pejabat SPRM Johor atas kesalahan menggunakan jawatan dan kedudukannya bagi mendapatkan kerja mengangkut hasil sawit di Felda Tenang, Segamat bernilai RM300,000,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) dan Seksyen 23 Akta SPRM yang jika sabit kesalahan membawa hukuman denda dengan lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara sehingga 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.