Penyanyi popular, Aina Abdul tidak mahu menjelaskan sebab pengurusnya meletakkan jawatan kerana ia membabitkan masalah dalaman antara mereka.
Menurut laporan Utusan, Aina atau nama penuhnya Nurul Aina Abdul Ghani berkata, tidak berlaku perselisihan faham antara mereka sebaliknya tindakan pengurus itu dilakukan secara sukarela pada bulan lalu.
“Apapun yang berlaku antara kami, biarlah saya sahaja yang tahu. Saya pun tak berani nak cakap lebih-lebih. Ada masalah dalaman yang berlaku antara kami dan ia sangat peribadi untuk dikongsikan,” katanya.
Penyanyi berusia 30 tahun itu berkata, sebarang individu yang memilih untuk ‘keluar’ dari hidupnya adalah berdasarkan keputusan dan alasan mereka sendiri.
“Saya tak singkirkan sesiapa pun sebab ia berlaku terlalu pantas. Lebih baik bertanya kepada pihak sebelah sana sebab dia sendiri mengundurkan diri secara sukarela,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Aina tidak mahu isu tersebut berlarutan sebaliknya ingin terus bersikap profesional selepas kedua-duanya didakwa berdepan kemelut.
“Saya bukan jenis bermasam muka dan berharap kami masih boleh bercakap seperti biasa apabila jumpa di mana-mana majlis,” kongsinya.
Sumber: Utusan, Instagram Aina Abdul




