Pengurus syarikat rugi RM5.02 juta terpedaya pelaburan tidak wujud

Pengurus syarikat rugi RM5.02 juta terpedaya pelaburan tidak wujud

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pengurus syarikat berputih mata apabila kerugian RM5.02 juta selepas terpedaya pelaburan tidak wujud yang diiklankan di Facebook (FB) pada Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor menerima laporan polis di daerah Serdang berkaitan kes penipuan pelaburan tidak wujud daripada lelaki tempatan, 72.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pada awal Mac lalu, mangsa melayari FB dan melihat iklan pelaburan yang bernama Philip Capital Management.

“Mangsa berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan kemudiannya nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bernama PCM Wealth Growth Exchange.

“Mangsa turut diminta memuat turun aplikasi bernama Mstrom dan mendaftar sebagai pelabur baharu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian membuat bayaran secara berperingkat bagi tujuan pelaburan berkenaan dan diminta membuat transaksi bayaran ke empat akaun bank berbeza sehingga berjumlah RM5.02 juta.

“Mangsa menyedari sudah diperdaya apabila dia diminta untuk membayar pelbagai bayaran cukai untuk mendapatkan wang itu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Modus operandi digunakan suspek adalah dengan memperdaya mangsa melalui iklan pelaburan di aplikasi FB,” katanya.

Mohd Zaini berkata, masyarakat diingatkan sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan di platform media sosial yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan yang mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top