Pengurusan Kedah, penyokong teruja sambut ketibaan Quaresma

Pengurusan Kedah, penyokong teruja sambut ketibaan Quaresma

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Penantian peminat bola sepak tempatan untuk melihat legenda Portugal, Richardo Quaresma hadir ke Kedah kini menjadi kenyataan.

Ketibaan bintang Piala Dunia berusia 41 tahun yang popular dengan gelaran ‘The King of Trivela’ itu bersama seorang lagi bekas pemain Portugal, Joao Tomas disambut meriah oleh pihak pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) serta 50 penyokong KDA FC di salah sebuah hotel sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

Menurut Pengarah Teknikal KDA FC, Nelson San Martin, kehadiran Quaresma di Kedah akan membangkitkan keceriaan penyokong yang digesa untuk hadir menyaksikan perlawanan persahabatan Kedah All Star anjuran KDA FC.

“Selain itu ini adalah satu peluang buat peminat menunjukkan kemeriahan bola sepak di Kedah kepada bintang itu sekali gus mempromosikan KDA FC yang banyak menempa kejayaan dalam saingan liga tempatan.

“Jadi saya rasa kita mesti penuhkan stadium untuk menunjukkan sokongan kepada kelab yang sudah berusaha merealisasikan kehadiran Quaresma dan Joao Tomas seperti dinantikan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Kelab Penyokong Kedah yang hadir iaitu Puaka Jerai Fans Club (PJFC) Zulkifli Hashim turut teruja dengan kehadiran bintang Piala Dunia berkelas lima bintang itu yang akhirnya dapat hadir ke Kedah selepas tertangguh beberapa kali.

“Memang cukup teruja apabila nama besar seperti Quaresma sudah hadir ke Kedah dan akan menjejakkan kakinya ke Stadium Darul Aman pada aksi persahabatan All Star pada Sabtu ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top