Pengurusan ladang berkuasa AI

Pengurusan ladang berkuasa AI

mahaizura@mediaprima.com.my

DALAM usaha membantu sektor perladangan bergerak lebih pantas ke arah pendigitalan, LintraMax (M) Sdn Bhd memperkenalkan penambahbaikan besar pada platform pengurusan perladangan berasaskan awan, Quarto.

Versi terbaharu ini tampil dengan rangkaian ciri kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang dirangka khusus untuk meningkatkan produktiviti ladang kelapa sawit serta kecekapan operasi kilang.

Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah AI Assistant, ejen pintar berasaskan model bahasa besar (LLM) yang membolehkan pengguna berinteraksi terus dengan maklumat mereka menggunakan bahasa biasa.

Contoh, pengurus boleh menggunakan chatbot untuk bertanya tentang prestasi hasil tuaian atau kos pengeluaran dan serta-merta menerima jawapan yang disokong data, lengkap dengan carta dan laporan.

Ciri baharu ini juga membolehkan pengurus dan pemilik ladang mendapatkan laporan Executive Insights bagi mengenal pasti corak operasi, ketidakcekapan, peluang serta maklumat penting lain untuk memahami prestasi perniagaan mereka.

Sistem Quarto juga diintegrasi dengan penderia Internet Kebendaan (IoT) di kilang kelapa sawit yang membolehkan pemantauan mesin selama 24 jam.

Ia secara automatik memberi amaran kepada jurutera sekiranya ada kelakuan luar biasa di peringkat operasi atau masalah prestasi, sekali gus mengurangkan keperluan pemeriksaan manual selain meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi.

Pengasas LintraMax Khor Kheng Khoon berkata, penambahbaikan ini adalah langkah penting dalam menjadikan operasi ladang lebih tangkas, teratur dan berasaskan data, selaras dengan keperluan industri yang semakin kompetitif.

“Penambahbaikan dilakukan berterusan bagi memastikan sistem ini kekal ‘future-proof’ dan relevan dengan kehendak industri,” katanya.

“Versi terkini Quarto menawarkan analitik berasaskan AI, automasi yang lebih meluas dalam proses harian serta data yang lebih pintar untuk membantu pengurusan membuat keputusan dengan tepat dan cepat.

“Sistem ini juga memberikan prestasi yang lebih baik dan pengalaman pengguna yang lebih lancar di estet dan kilang.

“Ini bermakna, pengurus ladang kini boleh mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai prestasi blok, ketidakcekapan operasi, kos serta hasil tuaian secara serta-merta melalui satu platform bersepadu,” katanya lagi.

Bagi tuaian di ladang, Quarto mampu merekodkan jumlah tandan buah segar (FFB) yang dituai dari setiap blok secara digital.

“Teknologi ini diperkukuh melalui ciri pengenalpastian FFB yang kini menggunakan kamera telefon mudah alih untuk mengira jumlah tuaian secara automatik, sekali gus mengurangkan risiko kesilapan manusia.

“Bilangan FFB dan gred FFB akan direkod pada telefon bimbit dan data diselaraskan ke sistem Quarto dalam masa hampir nyata (near real-time).

“Tidak lama lagi, sistem sama bakal menilai kualiti FFB, faktor penentu utama kepada penghasilan minyak dan margin keuntungan,” katanya.

Menurut beliau, Quarto kekal sebagai platform yang memberi tumpuan penuh kepada industri sawit.

“Quarto adalah platform khusus untuk estet kelapa sawit dan kilang minyak sawit, namun syarikat turut menawarkan sistem lain untuk sektor pertanian berbeza untuk sayur-sayuran, kelapa dan getah.

“Semuanya dibangunkan dengan ciri automasi bagi menyokong pelbagai jenis operasi pertanian moden,” katanya.

Sebagai syarikat tempatan, beliau berkata, konsep dan inovasi ini adalah hasil usaha dalaman sepenuhnya, berasaskan lebih 20 tahun pengalaman dalam industri perladangan.

Menurutnya, platform Quarto direka untuk syarikat perladangan dari semua saiz daripada pengusaha kecil dan sederhana, syarikat milik persendirian sehingga organisasi berskala perusahaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ingin mempercepat transformasi digital mereka melalui AI dan automasi.

“Pasukan AI LintraMax sentiasa meneroka aplikasi baharu pembelajaran mesin dan sains data untuk memudahkan kerja kompleks di ladang.

“Kami beri tumpuan kepada pembangunan teknologi yang praktikal bagi membantu pengguna kami kekal di hadapan dalam persekitaran yang semakin kompetitif serta berasaskan data.

“Dalam iklim perniagaan semasa, teknologi ini dibangunkan untuk bantu pengguna kami membuat keputusan yang lebih baik, pantas dan yakin yang secara langsung memberi kesan kepada produktiviti dan kelestarian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top