redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pihak pengurusan Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini akan mengenal pasti dan menyiasat dakwaan layanan buruk terhadap jemaah seperti yang dibangkitkan warganet di media sosial.
Menerusi satu hantaran di media sosial, pihak pengurusan masjid berkata, pihaknya akan mengambil tindakan untuk memperbaiki apa yang sepatutnya supaya ia tidak akan berlaku pada masa akan datang.
Dalam hantaran sama, pihak pengurusan masjid juga memohon maaf kepada mereka yang tersinggung dengan apa yang berlaku sebelum ini.
“Pihak masjid dengan rendah diri menginsafi dan memohon maaf di atas apa yang berlaku.
“Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan semua,”tulisnya.
Terdahulu, pihak pengurusan Masjid At-TTDI di sini, menafikan dakwaan kekurangan jemaah ketika majlis berbuka puasa kerana diboikot selepas tular video menunjukkan ruang berbuka puasa di dalam masjid itu lengang walaupun pek makanan sudah disusun di atas tikar.
Pengerusinya, Datuk Mohd Fazli Yusof dilapor berkata, dakwaan itu tidak benar berikutan kira-kira 800 hingga 1,000 individu hadir ke masjid itu sejak awal Ramadan lalu.
Menurutnya, tidak timbul isu suasana lengang seperti mana gambar tular di media sosial berikutan kebanyakan jemaah mula hadir memenuhi masjid bermula jam 7 malam.
Katanya, pihak masjid juga menyantuni semua jemaah yang hadir tanpa syarat dan ada ketikanya menempah makanan tambahan bagi menampung kehadiran jemaah di luar jangkaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




