am@hmetro.com.my
Ipoh: Pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor di sini yang dipercayai cuai hingga menyebabkan 134 murid dan guru keracunan makanan minggu lalu akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, pihak pendakwaan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sudah mengumpul bukti yang cukup dan akan memfailkan pertuduhan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Menurutnya, kontrak pengusaha kantin itu juga ditamatkan serta-merta oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, meskipun kontrak asal masih berbaki hingga 30 November depan.
“Saya dimaklumkan oleh JPN bahawa pada tahun lalu, dua teguran bertulis sudah diberikan kepada pengusaha ini disebabkan gagal menjaga aspek kebersihan premis.
“Ini kes serius. Jadi saya putuskan kita harus dakwa kerana ada cukup bukti. Kalau kita ajar seorang pengusaha kantin, maka ini pasti menjadi peringatan kepada yang lain,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kantin SK Chepor, hari ini.
Dalam tinjauan itu masih jelas terdapat najis tikus di kawasan dapur kantin berkenaan.
Pada 26 September lalu, Sivanesan dilaporkan berkata, kantin sekolah terbabit diarah tutup selama 14 hari oleh JKN Perak.
Beliau dipetik berkata, murid sekolah terbabit mengadu minuman bancuhan berperisa coklat yang dijual dua hari sebelum itu berbau masam, selain sebahagian daging ayam goreng masih mentah.
Dalam perkembangan sama, Sivanesan memaklumkan dua murid sekolah yang sebelum ini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh sudah dibenarkan pulang Jumaat lalu.
Beliau berkata, pihak sekolah diminta supaya melantik seorang guru bagi meninjau kebersihan kantin serta bertindak sebagai panel perasa makanan sebelum diserahkan ia dijual kepada murid.
“Saya juga memohon maaf secara terbuka kepada ibu bapa atas kejadian yang terjadi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




