KEMAMAN: Seorang pengusaha kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan mendera anak perempuan sepupunya yang berusia 15 tahun, bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 52 tahun membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan, wanita itu sebagai individu yang mempunyai hubungan pemeliharaan terhadap mangsa didapati mengabaikan kanak-kanak perempuan itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 22 Mei lalu di kedai makan dan rumahnya di Batu 5, Binjai, di sini, kira-kira pukul 5.30 petang. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Wan Suhaila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan, tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta dikehendaki melapor diri di balai polis sehingga perbicaraan selesai.
Mahkamah turut menetapkan 1 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Difahamkan, mangsa yang dijaga tertuduh sejak pertengahan tahun lalu, pernah dipukul beberapa kali sebelum ini menyebabkan mangsa tidak tahan dan mengadu kepada ahli keluarganya yang tinggal di Kuantan, Pahang.
Mangsa mendakwa, kali terakhir dia dipukul dengan getah paip pada 22 Mei lalu kerana tidak mengikut arahan tertuduh. – UTUSAN