Pengusaha kolam udang didakwa bunuh seorang lelaki

Pengusaha kolam udang didakwa bunuh seorang lelaki

LUMUT: Seorang pengusaha kolam udang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Acheh, Sitiawan, bulan lalu.

Tertuduh, Lau Kok Shang, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Asma’ Nahdiyya Che Ab Rahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian M. Kaliswaram, 45, di kawasan pembakaran longgokan sampah berdekatan dengan kolam udang Kampung Acheh, Sitawan di dalam daerah Manjung antara pukul 10 hingga 11 pagi pada 23 Julai 2026.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini, manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Jarreth Ong.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 September depan.

Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah sama, Ng Wan Hong, 50, dan seorang lelaki warga Myanmar, Naing Min Htet, didakwa dengan sengaja melakukan kekerasan jenayah ke atas Kaliswaram pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Asma’ Nahdiyya membenarkan Wan Hong diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin manakala sebutan semula kes bagi Min Htet ditetapkan pada 17 Ogos depan untuk lantikan jurubahasa Myanmar. – UTUSAN

Scroll to Top