mahani@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Ramai pengusaha sektor ekonomi yang boleh beroperasi semula bermula hari ini lega dengan kebenaran diberikan.
Tinjauan ke beberapa salun dan kedai gunting rambut serta pusat cuci kenderaan mendapati mereka gembira mendengar pengumuman Perdana Menteri semalam dan tidak sabar menerima pelanggan walaupun sesetengahnya masih sibuk membuat persiapan.
Pemilik salun Muslimah Zuhayra, Umi Kaiyisah Abd Ghani, 32, bersyukur dapat beroperasi semula selepas hampir tiga bulan kehilangan punca pendapatan.
“Apabila diberitahu boleh beroperasi, saya terus menghubungi satu-satunya staf yang ada untuk bersama-sama melakukan persiapan, sanitasi, periksa bekalan sebelum kembali membuka salun.
“Lebih menggembirakan, pelanggan tetap sudah mula mendapatkan janji temu kerana mereka sendiri sudah lama menunggu untuk perkhidmatan gunting dan cuci rambut,” katanya yang beroperasi di Kampung Medan, Petaling Jaya.
Sebanyak 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran dibenarkan beroperasi semula hari ini bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ia membabitkan kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot dan kedai peralatan sukan.
Selain itu, kedai aksesori kereta; pusat pengedaran dan jualan kereta; pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).
Umi Kaiyisah berkata, biarpun produk penjagaan rambut boleh dibeli pelanggan secara dalam talian, ia masih tidak dapat menampung keseluruhan kos operasi berikutan sewa kedainya RM800 tetap perlu dijelaskan, kecuali pada bulan pertama apabila pemilik premis memberikan diskaun 50 peratus.
Bagi pemilik pusat cuci kenderaan, Noor Aziah Fadzil, 44, pengumuman kerajaan amat melegakan dan sangat memberi makna selain membolehkan empat kakitangan kembali mendapat gaji.
“COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat memberi kesan. Saya terpaksa melepaskan pusat cuci kereta yang lain kerana tidak mampu membayar sewa.
“Jadi apabila dibenarkan membuka kembali kedai hari ini, kakitangan sangat lega dan kami amat menghargai keputusan kerajaan yang memahami keluh kesah dilalui penggiat 11 aktiviti ekonomi itu,” katanya.
Katanya, pihaknya bersedia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana sebelum ini sudah terbiasa dan memang pelanggan juga tahu keperluan mengimbas aplikasi MySejahtera, suhu badan dan lain-lain serta digalakkan membayar tanpa penggunaan tunai.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, TN Winda Mohd Tahir, berkata ramai pengusaha kedai rambut terutama di negeri yang masih rendah pencapaian vaksinasi tidak mematuhi syarat untuk beroperasi.
“Justeru kami harap kerajaan dapat memperhalusi semua syarat berikutan kadar vaksinasi tinggi hanya di Lembah Klang, tetapi tidak di Kedah, Melaka dan Johor.
“Syarat utama itu tidak memberi kelebihan di sesetengah negeri Fasa 1 PPN dan ini membuatkan mereka terus menanti termasuk juga janji temu vaksinasi suntikan dos pertama,” katanya.
TN Winda berkata, sebagai cadangan, kerajaan diharap memberi peluang untuk penggiat sektor perdagangan dan pengedaran dibenarkan mendapatkan vaksinasi secara terus atau ‘walk’in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Jika tidak, kebenaran yang diberikan tidak memberi makna kepada ribuan pengusaha gunting rambut yang terputus pendapatan, yang belum dapat giliran vaksin dan masih dalam penantian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




