Pengusaha lori dikesan masih guna pelekat tonto elak penguatkuasaan

Pengusaha lori dikesan masih guna pelekat tonto elak penguatkuasaan

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan tindakan segelintir pengusaha lori, khususnya di sekitar Lembah Klang yang masih menggunakan pelekat atau stiker tonto bagi melindungi kenderaan mereka daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, syarikat terlibat dipercayai membayar individu atau kumpulan tonto bagi memantau pergerakan pasukan penguat kuasa sebelum maklumat itu disalurkan kepada pemandu lori.

Beliau berkata, kumpulan terbabit akan mengekori pasukan JPJ sebaik sahaja operasi bermula dan menggunakan alat komunikasi untuk menyalurkan lokasi semasa kepada lori berpelekat khas supaya pemandu dapat bersembunyi seketika sehingga operasi tamat sebelum meneruskan perjalanan.

“Lori-lori ini juga dikesan menggunakan jalan tikus bagi mengelak daripada dikesan dan dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media Ops Khas Kenderaan Perdagangan di sini, hari ini.

Muhammad Kifli berkata, pihaknya memandang serius kegiatan itu dan akan menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut, termasuk kemungkinan melaksanakan operasi bersama susulan pengesanan lori yang masih menggunakan stiker berkenaan.

“JPJ sekali lagi ingin memberi amaran tegas dan keras kepada pengusaha lori supaya tidak menggaji atau mengupah tonto-tonto untuk melindungi lori di bawah kawalan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai statistik penguatkuasaan, Muhammad Kifli berkata, JPJ telah mengambil tindakan terhadap lebih 400,000 daripada 2.58 juta kenderaan perdagangan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan bagi tempoh 2024 hingga April 2026.

Beliau berkata, sebanyak 45,986 notis JPJ(P)22 dikeluarkan pada 2024, manakala pada 2025 sebanyak 57,174 notis dan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 14,885 notis direkodkan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, selain tindakan saman, JPJ turut menyita 753 lori yang melanggar syarat permit serta peruntukan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dengan Pulau Pinang merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 133 kes, diikuti Selangor (125) dan Pahang (101).

Muhammad Kifli berkata, JPJ juga telah melaksanakan proses pelucutan hak terhadap 30 lori bagi tempoh 2024 hingga 2026 di bawah Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana membawa muatan melebihi had dibenarkan.

“Kami ingin tegaskan kepada semua pengusaha lori bahawa mana-mana lori yang membawa muatan melebihi 50 peratus daripada berat dibenarkan akan disita dan JPJ akan mendapatkan perintah mahkamah untuk tindakan pelucutan hak,” katanya.

Muhammad Kifli berkata, kebanyakan kesalahan melibatkan lori membawa bahan batuan serta isu teknikal seperti ketiadaan lesen memandu dan Lesen Vokasional Barangan (GDL), sambil menyifatkan alasan mengejar trip atau keuntungan oleh pengusaha sebagai lapuk dan tidak boleh diterima lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top