Pengusaha pusat cuci kereta dilepas, dibebaskan daripada tuduhan edar, miliki dadah

Pengusaha pusat cuci kereta dilepas, dibebaskan daripada tuduhan edar, miliki dadah

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pengusaha pusat cuci kereta dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, daripada tiga pertuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Noor Hayati Mat membuat keputusan itu terhadap Mohamad Faez Moktar, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Noor Hayati berkata, selepas membuat penilaian maksimum, elemen milikan dengan pengetahuan terhadap dadah gagal dibuktikan oleh pendakwaan.

“Dalam penilaian saya, rumah di Horizon Hills itu jika pun tertuduh tinggal di sana, ia tidak didiami olehnya seorang diri. Tiada pemerhatian atau pemantauan pernah dibuat untuk membuktikannya ada pergi atau keluar dari rumah di Horizon Hills pada hari serbuan dibuat.

“Oleh kerana dadah dijumpai di rumah di Horizon Hills dan kunci dikatakan dirampas daripada tertuduh ketika di Ramada Hotel, maka keterangan bukti mengenai kunci ini akan membentuk naratif kes pendakwaan yang penting untuk mengaitkannya dengan rumah di Horizon Hills itu.

“Kekurangan dalam cara ia dikemukakan menjejaskan kes pendakwaan. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah kanabis seberat 2,450.02 gram manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 338.59 gram.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki racun jenis etizolam seberat 1.97 gram dan semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pinggiran 2, Horizon Hills, Iskandar Puteri di sini, kira-kira 4.30 petang, 30 Disember 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 38B(2) akta sama serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Norliza Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail.

Seramai lima saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan kes berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd