am@hmetro.com.my
Bachok: Pengusaha spa yang disimbah asid dalam kejadian di kedai spa dan salun miliknya di Beris Kubur Besar di sini, selamat menjalani pembedahan selama enam jam.
Suaminya yang dikenali sebagai Wan, 33 berkata, pembedahan dijalankan pada 10 pagi tadi sehingga 4 petang.
Katanya, isterinya yang berusia 27 tahun itu menjalani pembedahan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian.
“Dalam enam jam saya tunggu, alhamdulillah isteri sudah selesai jalani pembedahan.
“Dia (isteri) dalam keadaan stabil namun belum sedarkan diri kerana kesan bius,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan berkata, dia tidak dapat berkongsi butiran lanjut kecederaan yang dialami isterinya berikutan masih belum mendapat laporan penuh berhubung kecederaan itu.
Katanya, ketika mengambil isterinya ketika kejadian, dia mendapati bahagian yang terkena asid dan cedera adalah di bahagian belakang badan dan bahu.
Dalam kejadian 8.30 malam semalam, mangsa yang berada bersama anak perempuannya berusia tujuh tahun, disimbah cecair dipercayai asid ketika membuka pintu untuk pelanggan berpurdah di kedainya.
Sehingga kini polis giat menjalankan operasi bagi menangkap suspek yang dipercayai dilakukan lebih seorang suspek dan belum mengetahui motif kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd