harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengusaha syarikat logistik membabitkan kenderaan berat digesa untuk menyemak latar belakang dan rekod pemandu sebelum mengambil mereka bekerja.
Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, kerjaya sebagai pemandu lori memerlukan kebertanggungjawaban yang tinggi.
Menurutnya, dirinya yang juga pemilik syarikat pengangkutan memahami kekangan dihadapi pemain industri dalam mencari pemandu namun keselamatan awam perlu diberi keutamaan.
“Proses pengambilan pemandu lori bukan perkara yang boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan nyawa pengguna jalan raya lain selain kargo yang bernilai kepada syarikat.
“Jangan setakat lihat pada lesen sahaja kerana lesen itu tidak bermaksud mereka layak untuk memandu jentera berat.
“Kita wajib buat semakan dengan polis untuk pastikan pemandu tiada rekod jenayah terutama membabitkan kes curi, dadah atau kekerasan,” katanya hari ini.
Katanya, dia berasa terpanggil untuk mengulas berhubung isu itu susulan insiden kemalangan membabitkan sebuah lori yang mengakibatkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) baru-baru ini.
Katanya, insiden itu wajar dijadikan iktibar dan amaran kepada semua pemain industri supaya lebih teliti dalam pengambilan pemandu lori selain menitikberatkan aspek penyelenggaraan jentera berat terbabit.
“Ini bukan lagi soal kelemahan individu, ini tentang kecuaian sistem. Bila kita ambil pemandu yang tidak ditapis, risiko bukan saja kepada jalan raya, tapi kepada seluruh operasi syarikat.
“Kita faham cabaran mendapatkan pemandu, tetapi jika terlalu mudah memberi laluan kepada calon yang tidak layak, kita sedang membuka pintu kepada malapetaka.
“Dalam banyak kes kemalangan serius, bukan sahaja pemandu akan disiasat, malah syarikat juga berisiko dikenakan tindakan,” katanya.
Menurutnya, pihak syarikat boleh digantung operasi dan sebagai salah seorang pengusaha syarikat pengangkutan beliau tahu betapa buruk kesannya jika tidak dibenarkan beroperasi walaupun hanya sebulan.
Katanya, sesebuah syarikat yang mempunyai puluhan jentera boleh lumpuh dan gulung tikar sekiranya tidak dapat beroperasi kerana tidak dapat menampung kos jika lori tidak ‘berjalan’.
“Kita tidak boleh teruskan ambil pendekatan ‘tutup sebelah mata’ dan kita perlukan satu sistem yang mesra industri tetapi pada masa sama tegas.
“Pemandu yang cuai atau bersejarah hitam tidak sepatutnya dibenarkan memegang stereng lori yang membawa nyawa dan bebanan berbahaya di jalan raya.
“Budaya ambil mudah ini perlu dihapuskan jika Malaysia mahu melihat industri pengangkutannya berkembang secara selamat, profesional dan berdaya tahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




