PUTRAJAYA: Tindakan kerajaan bertindak mengusir kesemua 33 pegawai diplomatik dan ahli keluarga Kedutaan Korea Utara adalah mengikut lunas antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu sejajar Artikel 9 menerusi Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.
“Perkara ini juga sebagai tindak balas terhadap tindakan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) pada 19 Mac lalu secara sebelah pihak memutuskan hubungan dengan Malaysia.
“Langkah yang diputuskan oleh negara tersebut jelas amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab,” tegas beliau melalui kenyataan hari ini.
Beliau juga mengulangi ketetapan diputuskan kerajaan menerusi kenyataan Wisma Putra mengusir keluar semua staf kedutaan dan tanggungan mereka pada Jumaat lalu.
Hari ini, semua petugas negara komunis itu dan anggota keluarga mereka sudah meninggalkan Malaysia dengan menaiki pesawat komersial China kira-kira pukul 4 petang.
Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang menuju ke Pudong kerana tiada penerbangan terus ke Pyongyang.
Hishammuddin berkata, tindakan kerajaan itu menjadi satu keperluan demi melindungi kedaulatan perundangan Malaysia dan mempertahan kepentingan negara sendiri.
“Usaha ini juga sebagai peringatan Malaysia tidak toleransi dalam sebarang cubaan pihak asing untuk mengganggu hal ehwal dalaman dan urusan sistem pentadbiran negara.
“Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan anasir luar yang mahu mencetuskan ketegangan tidak perlu sehingga menjejaskan amalan hubungan antarabangsa,” tegas beliau.
Hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara mula terjalin secara rasmi sejak 1973 dengan Pyongyang telah membuka premis kedutaannya di Kuala Lumpur pada setahun kemudian.
Bagaimanapun, hubungan itu renggang susulan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam pada 2017 dan kedua-dua negara memanggil balik duta masing-masing.
Bahkan Malaysia menutup langsung kedutaannya di Pyongyang pada tahun tersebut dan hubungan itu cuba dipulihkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2019.
Jumaat lalu, Korea Utara mengutuk Malaysia kerana mengekstradisi warganya, Mun Chol Myong ke AS konon atas tuduhan palsu dan dijanjikan habuan besar oleh kuasa dunia itu.




