Pengusiran warga Myanmar ditangguh sehingga mesyuarat Asean selesai

Kira-kira 1,086 warga Myanmar dihantar pulang dengan kapal tentera laut bulan lalu, beberapa minggu selepas rampasan kuasa oleh junta pada 1 Feb lalu. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Malaysia memutuskan untuk menangguhkan semua pengusiran ke Myanmar yang dirancang sehingga selesai sidang kemuncak serantau tergempar yang dicadangkan bagi membincangkan krisis di negara itu akibat rampasan kuasa junta, kata sumber yang tahu perkara itu.

Hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan individu yang akan diusir itu, apabila Malaysia menghantar pulang 1,086 warga Myanmar dengan kapal tentera laut Myanmar bulan lalu, hanya beberapa minggu selepas rampasan kuasa oleh junta pada 1 Feb lalu.

Warga Myanmar yang ditahan di Malaysia atas kesalahan imigresen itu dihantar pulang, walaupun terdapat perintah mahkamah untuk menangguhkan rancangan berkenaan.

Hak asasi manusia memberitahu mahkamah, kanak-kanak dan pencari suaka melarikan diri daripada penindasan di Myanmar antara mereka yang dihantar pulang.

Tiga sumber Malaysia yang tahu perkara itu berkata, keputusan menangguhkan rancangan penghantaran pulang kumpulan kedua sehingga selesai mesyuarat Asean yang dicadangkan untuk membincangkan krisis Myanmar dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Satu daripada sumber itu berkata, Myanmar bulan ini menawarkan untuk menghantar tiga lagi kapal tentera laut bagi membawa rakyatnya yang ditahan di Malaysia.

Kementerian Luar Malaysia mengaju pertanyaan itu kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen, tetapi tiada satu pun yang memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas.

Minggu lalu, Indonesia menggesa Brunei, pengerusi Asean ketika ini, mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan keadaan di Myanmar, ketika operasi ganas dijalankan ke atas penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa.

Malaysia menyokong gesaan Jakarta, tetapi tidak jelas bila atau sama ada mesyuarat tergempar itu akan diadakan.

Malaysia berdepan tekanan antarabangsa selepas menghantar pulang sekumpulan warga Myanmar bulan lalu, dengan diplomat berkata, Kuala Lumpur menghalalkan rampasan kuasa itu dengan menerima cadangan junta untuk menerima tahanan terbabit.

Malaysia berkata, warga Myanmar yang dihantar pulang bulan lalu ialah pendatang asing tanpa izin dan tidak termasuk pelarian Rohingya atau pencari suaka.

Tetapi, kebimbangan tetap ada kerana agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dinafikan akses ke atas tahanan lebih setahun untuk mengesahkan status mereka.