BERA: Peniaga di tapak Bazar Ramadan Triang yang terjejas berikutan bencana ribut semalam, tetap meneruskan urusan jualan juadah berbuka puasa, hari ini.
Walaupun hanya sebahagian sahaja yang berniaga, mereka tidak berputus asa dan memasang khemah sendiri demi mencari rezeki di bulan Ramadan.
Seorang peniaga, Masliza Ghazali, 53 berkata, semalam adalah hari pertama dia berniaga di tapak itu dan sudah menanggung kerugian.
“Saya agak trauma dengan kejadian semalam. Ia luar biasa sebab sepanjang berniaga di tapak bazar, belum pernah berlaku keadaan seperti itu.
“Tapi alhamdulillah, tiada peniaga yang cedera. Malah hari ini, masing-masing bersemangat untuk berniaga,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan yang diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan wakil dari Pejabat Parlimen Bera.
Meskipun dalam keadaan hujan, peniaga masih meneruskan jualan mereka namun berharap, Majlis Daerah Bera dapat mencari lokasi baharu supaya mereka boleh berniaga sehingga akhir Ramadan.
Seorang lagi peniaga, Mohd. Termimi Idris, 37, memberitahu, berikutan banyak peralatan jualannya rosak, dia tidak dapat berniaga pada hari ini.
“Saya akan mula berniaga esok. Terpaksalah guna khemah sendiri macam peniaga lain. Asalkan boleh berniaga, dapat cari rezeki di bulan Ramadan sudah memadai.
“Penduduk di sini sudah tahu lokasi ini, jadi memang kena berniaga. Selalunya bukan orang Melayu sahaja yang membeli tapi juga bangsa lain. Itu sebenarnya memeriahkan suasana di sini,” ujarnya. – UTUSAN