am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang peniaga dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini, atas pertuduhan berlagak seperti perempuan pada November lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Khairul Izwan Sidi Ahmad, 25, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Firdaus W Ibrahim.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa berlagak seperti perempuan iaitu berpakaian baju-T yang ketat, berseluar dalam wanita dan berselipar perempuan di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) di sini kira-kira jam 2.35 petang pada 9 November 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Kelantan, Syafika Mat Husin dibantu Ezarihan Mat, manakala tertuduh diwakili peguam Syarie Muhammad Syarafi Mohd Salleh dan Mohd Faqqhurudin Mohd Nasir.
Terdahulu, Syafika mencadangkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin, namun Muhammad Syarafi dalam rayuannya memohon jumlah dikurangkan kepada RM500 dengan mengambil kira faktor anak guamnya berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam, selain menjadi penyumbang terbesar membiayai komitmen keluarga.
“Tertuduh seorang OKU dan kami mempunyai maklumat mengenai status itu selain perlu menanggung bil elektrik kediaman keluarga lebih RM400 yang sekali gus menjadi komitmen bulanannya,” katanya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Muhammad Syarafi berkata, anak guamnya membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
